GEORGE TOWN : Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi Pulau Pinang kekal stabil apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.39, sama seperti tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pencapaian itu menunjukkan konsistensi prestasi calon walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, seramai 16,545 daripada 17,933 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang hadir peperiksaan layak menerima sijil, iaitu 92.26 peratus.
”Walaupun berlaku sedikit penurunan sebanyak 1.41 peratus berbanding 93.67 peratus pada tahun 2024, namun dari segi jumlah calon layak sijil menunjukkan peningkatan,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 25 calon berjaya memperoleh keputusan semua A+ berbanding 19 calon pada tahun sebelumnya.
”Bagi calon yang memperoleh kombinasi semua A (A+, A dan A-), seramai 725 orang direkodkan iaitu menurun sedikit berbanding 800 calon pada tahun 2024,” katanya.
Sementara itu katanya, sebanyak 30 buah sekolah di negeri ini berjaya mengekalkan pencapaian 100 peratus layak sijil, sama seperti tahun lalu.
Mengulas prestasi mata pelajaran pula, Mohamad Dziauddin berkata, sebanyak 41 daripada 66 mata pelajaran menunjukkan peningkatan, 24 merekodkan penurunan manakala satu lagi mata pelajaran kekal.
”Pendidikan Islam mencatat peningkatan terbaik sebanyak 0.73 mata, manakala Bahasa Melayu menunjukkan penurunan sebanyak 0.28 mata,” katanya.
Beliau berkata, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar sedikit melebar kepada 1.33 mata berbanding 1.25 pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Dziauddin memberitahu, jumlah calon yang tidak hadir peperiksaan menurun kepada 199 orang berbanding 239 orang pada 2024, hasil intervensi awal pihak sekolah dan kementerian.
”Sebahagian besar calon yang tidak hadir dikenal pasti telah bekerja dan tidak lagi mengikuti sesi persekolahan,” katanya.
Beliau berkata, seramai 69 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) turut menduduki peperiksaan SPM tahun ini dengan beberapa daripadanya mencatat keputusan cemerlang. – UTUSAN










