KAJANG: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang mengambil mata pelajaran Bahasa Cina digalakkan menyambung pengajian dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, galakan itu disokong oleh peningkatan prestasi mata pelajaran Bahasa Cina dalam SPM 2025.
Katanya, daripada 46,046 calon yang menduduki mata pelajaran itu, seramai 40,888 orang memperoleh kredit (A hingga C), dengan kadar kelulusan meningkat kepada 88.8 peratus berbanding 87.8 peratus pada 2024.
“Dengan jumlah 40,888 calon yang memperoleh kredit, ini menunjukkan kita mempunyai kumpulan calon yang mencukupi untuk menyertai PISMP.
“Dalam tempoh tiga minggu kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan (KPM) giat mempromosikan program ini melibatkan lepasan SPM untuk mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) selama lima tahun sebelum menjadi guru sekitar tahun 2030 atau 2031,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman SPM 2025 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua, hari ini.
Kah Woh berkata, usaha promosi turut melibatkan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) khususnya bagi pengambilan calon ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Katanya, syarat minimum bagi aliran tersebut ialah memperoleh kredit Bahasa Cina selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengetua sekolah agar membantu mempromosikan permohonan ke PISMP.
“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lima A dan mempunyai kredit Bahasa Cina bagi SJKC layak memohon.
“Saya juga memohon kerjasama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan pihak sekolah untuk meningkatkan jumlah permohonan supaya semua slot dapat dipenuhi, termasuk bagi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan SJKC,” katanya.
Tambah beliau, sambutan bagi Sekolah Kebangsaan (SK) lazimnya amat menggalakkan, namun cabaran utama ialah bagi SJKC dan SJKT yang kadangkala kurang mendapat sambutan. – UTUSAN










