PETALING JAYA: Pembangkang akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sekiranya kerajaan menerima permintaan agar jawatan itu dilarang memegang Menteri Kewangan.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hassan berkata, pembangkang tidak memberi sokongan kepada RUU pada Isnin lalu itu disebabkan permintaannya tersebut tidak dipenuhi kerajaan.
Katanya, pembangkang pada awalnya mohon RUU itu ditangguhkan terlebih dahulu bagi memberi ruang untuk dibincangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.
“Bagaimanapun, ia tidak berlaku sedangkan kami tiada masalah dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun seperti diusulkan.
“Permintaan adalah kerajaan memasukkan klausa yang melarang Perdana Menteri memegang Menteri Kewangan seperti yang berlaku sekarang kerana ia membuka ruang besar untuk salah guna kuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Isnin lalu, keputusan undi belah bahagi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 itu tidak mendapatkan sokongan dua pertiga apabila 146 Ahli Parlimen bersetuju manakala 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.
Pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya sokongan 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.
Mengulas lanjut, Azahari berkata, tujuan utama cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri adalah untuk mengurangkan kuasa berlebihan kepada seseorang pemimpin sebaik sahaja dilantik ke jawatan tersebut.
Katanya, namun tiada larangan seorang Perdana Menteri pada masa sama memegang jawatan Menteri Kewangan dan ia tidak mencapai tujuan asal RUU tersebut.
“Kita lihat di zaman Datuk Seri Najib Razak apabila seorang Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan berlaku isu-isu rasuah dan salah guna kuasa yang akhirnya merugikan negara.
“Sebab itulah kami di pembangkang bersungguh-sungguh meminta klausa itu diambil kira kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi,” katanya.
Azahari berkata, terdapat juga beberapa pindaan lain yang harus diteliti kerajaan supaya menjadikan RUU tersebut lebih komprehensif dan mencadangkan ia dibincangkan lebih mendalam Jawatankuasa Khas Parlimen.-UTUSAN










