PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka memperincikan hala tuju pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) pada penghujung bulan April ini bagi memperkukuh proses membuat keputusan berasaskan data.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sistem tersebut penting bagi memastikan dasar serta keputusan kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih tepat dan menyeluruh.
Menurut beliau, penggunaan PADU juga akan membantu kerajaan menilai keperluan sebenar rakyat serta menyelaraskan pelbagai program pembangunan yang dirancang.
“Dalam soal sistem PADU, kita telah menyatakan bahawa penggunaannya penting bagi memastikan keputusan kerajaan berpandukan data yang tepat.
“Pelan dan hala tuju sistem ini akan kita kongsikan mungkin pada penghujung bulan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pemetaan Peluang Strategik GLC melalui RMK13 di sini, hari ini.
Katanya lagi, pelaksanaan sistem tersebut juga akan mengambil kira keperluan pembangunan negara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pada masa sama, katanya, kerajaan akan terus menggunakan sistem sedia ada dalam proses pelaksanaan dasar bagi mengelakkan sebarang kekeliruan ketika proses peralihan kepada penggunaan PADU secara lebih menyeluruh.
PADU dibangunkan sebagai repositori data nasional bagi membantu kerajaan menyalurkan bantuan secara lebih tepat kepada rakyat, selain menyokong pendekatan pentadbiran berteraskan data. – UTUSAN










