Sidang Dewan Rakyat kecoh, Hamzah enggan berhenti tanya soalan

Sidang Dewan Rakyat kecoh, Hamzah enggan berhenti tanya soalan

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat pagi ini kecoh apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak berhenti bertanya soalan selepas Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) tamat, yang menyebabkan mesyuarat ditangguhkan lima minit.

Insiden berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan kedua berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan.

Hamzah bangun untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan Anwar supaya pembangkang bekerjasama dengan kerajaan demi keselamatan negara.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd. Nor berkata, sesi MQT sudah tamat, namun Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mencadangkan Ramli menggunakan budi bicara membenarkan Hamzah mengemukakan soalan di bawah Peraturan Mesyuarat 43 atas kapasiti Ketua Pembangkang.

“Yang berhormat (YB), saya tidak benarkan. Saya tahu YB Ketua Pembangkang. Saya Pengerusi, saya faham YB Ketua Pembangkang,” kata Ramli.

Hamzah tetap meneruskan soalannya, menyebabkan Ramli meminta Ahli Parlimen Larut itu mengemukakan usul.

“Saya sudah buat keputusan. Saya tidak akan tarik balik keputusan saya,” kata Ramli.

Hamzah berkata, beliau hanya mahu mendapatkan penjelasan Perdana Menteri supaya pembangkang dan kerajaan dapat bekerjasama.

“Kerja speaker adalah memastikan dewan ini ada kerjasama, bukan menunjukkan kuasa,” katanya.

Cadangan Takiyuddin supaya Ramli bertanya kepada Anwar sama ada memberi laluan kepada soalan itu tidak dihiraukan dan mesyuarat ditangguhkan lima minit sebelum loceng dibunyikan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN