KUALA LUMPUR: Siasatan besar-besaran yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi pendorong utama hingga terdapat pihak cuba menggunakan ‘kuasa luar’ untuk menjatuhkan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kumpulan yang berpangkalan di luar negara itu sudah bermula dari Ogos 2024 dan akan tamat pada tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.
Menurut beliau, kumpulan tersebut mempunyai dana yang besar dan didukung oleh warga tempatan, sementara strategi mereka pula adalah untuk merancang kegiatan mempertikai kerajaan sedia ada dan usaha dijalankan sehingga pilihan raya.
Jelasnya, beliau tidak mahu mendedahkan nama dan tempat kumpulan itu kerana siasatan masih berada di peringkat awal, bagaimanapun sudah terdapat enam kali perjumpaan direkodkan antara syarikat, badan-badan serta tokoh-tokoh berkenaan.
“Dari Ogos (2024), ditekankan strategi mereka untuk mendapatkan maklumat dan mempengaruhi melalui international round table, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta akan menggunakan international push kemudian brief Bloomberg bagi tindakan selanjutnya.
“Tapi yang mendorong kegiatan ini adalah kerana siasatan rasuah oleh SPRM yang berskala besar, itu yang menyebabkan mereka terpanggil untuk bertindak menggunakan kekuatan pengaruh luar dan dalam negara.
“Strategi mereka (adalah) menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan khususnya SPRM, kemudian menggunakan kekuatan dan contact dengan negara luar (bagi) memberi naratif mempertikai kewibawaan Malaysia serta kerajaan dan mengatur Gerak melalui Parlimen. Ini yang membimbangkang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengenai hal tersebut semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
Anwar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124 (b) Kanun Keseksaan (KK).
“Jadi terperinci berkenaan jumlah saksi dan sebagainya itu, saya serah kepada polis tetapi yang saya nak tekankan di sini, PR (pegawai perhubungan awam) syarikat berkenaan akan menggunakan supaya boleh newspaper journalist, publish article analysis untuk mempertikai langkah-langkah diambil kerajaan.
“Ketiga, menetapkan dan mempengaruhi questions to be raise in Parlimen tentang isu ini, berikutnya mempengaruhi melalui hubungan dengan menulis right to bankers, setting out their strategies. Bermakna ada sampaikan pengaruh melalui pegawai bank,” katanya.
Belia berkata, kumpulan yang cuba mensabotaj kerajaan itu juga akan memuji tokoh-tokoh tertentu menerusi rangkaian media antarabangsa yang berada di dalam siasatan SPRM.
Tambahnya, walaupun perkara itu tidak boleh dipandang serius tetapi kesiapsiagaan dan kewaspadaan diperlukan untuk memastikan keadaan terkawal.-UTUSAN










