Setiap individu ada alasan sendiri buat ‘body art’ - Alicia Amin - Utusan Malaysia

Setiap individu ada alasan sendiri buat ‘body art’ – Alicia Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Alicia Amin mempersoalkan tindakan segelintir individu yang bersikap prejudis terhadap perbuatan mencacah tatu.

Alicia atau  Raja Alicia Raja Amin, 30, yang juga memiliki tatu pada badan, mengakui kurang selesa apabila perkara tersebut dijadikan bahan perdebatan umum.

“Sikap segelintir pihak dilihat pelik dan sinis terhadap tatu, seolah-olah merekalah yang paling layak masuk syurga.

“Perkara itu memang membuatkan saya berasa kurang selesa,” katanya menerusi platform Threads.

Pada awalnya, Alicia tidak mengetahui perbualan mengenai tatu yang tular di media sosial berpunca daripada pengakuan seorang pempengaruh yang mencacah tatu kerana mengalami kemurungan.

Bagaimanapun, selepas memahami situasi tersebut, pelakon itu memilih untuk tidak mencampuri isu berkenaan, namun berpendapat setiap individu mempunyai sebab tersendiri untuk melakukan perubahan pada diri.

“Pada mulanya saya tertanya-tanya mengapa pengguna Threads rancak membincangkan soal solat, tatu dan kemurungan.

“Namun kini saya faham, rupa-rupanya ada isu lain melibatkan individu tertentu dan tatu yang dimilikinya.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai komen mengenai individu berkenaan kerana setiap orang mempunyai alasan tersendiri untuk memilih ‘body art’ atau melakukan sebarang perubahan pada diri,” ujarnya.

Tambahnya, setiap individu berhak membuat pilihan masing-masing selagi tidak memudaratkan orang lain.

“Biarkan setiap orang membuat pilihan sendiri selagi tidak memberi kesan buruk kepada orang lain.

“Mengapa keputusan seseorang untuk mencacah tatu perlu menjadi tular? Saya sudah terlalu matang untuk melayan hal sebegini, biarkan sahaja.

“Saya sendiri masih mampu meneruskan kerjaya walaupun memiliki tatu separuh lengan dan semuanya baik-baik sahaja,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN