Semua sekatan perolehan KDN ditarik balik - Anwar

Semua sekatan perolehan KDN ditarik balik – Anwar

ANWAR Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) menunjukkan Buku Mesra PDRM Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur semalam.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menarik balik semua sekatan perolehan terhadap Kementerian Dalam Negeri sebelum ini terutamanya untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal kebajikan warga PDRM terus diberikan perhatian berbanding sebelum ini dengan pelbagai inisiatif termasuk balai polis daif dan perumahan warganya.

“Tanggungjawab rakan-rakan di PDRM, KDN, pastikan menjadi contoh yang baik dalam ketelusannya. Pertahankan integriti, ia bukan slogan tahunan, integriti itu amalan.

“Walaupun bermula masalah (di sektor) pertahanan pada peringkat awal, kita bekukan semua (perolehan), termasuk KDN. Tapi sekarang sudah kita lepaskan.

“Tetapi satu peringatan supaya perolehan jadi contoh terbaik secara lebih profesional dan telus,” katanya ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219, di sini semalam.

Pada 16 Januari lalu, kerajaan mengambil langkah tegas membekukan sementara semua keputusan perolehan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan siasatan berjalan tanpa gangguan serta memberi ruang penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan.
Sementara itu, Anwar berkata, beberapa langkah intervensi awal dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara, susulan perkembangan Asia Barat yang menyaksikan laluan Selat Hormuz dihadkan.
Menurut beliau, kerajaan sedang mempelbagaikan sumber dan meneroka laluan alternatif lain bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz.

“Situasi ini akan terus dipantau rapi, dengan maklumat disalurkan secara telus kepada rakyat.

“Dalam mendepani cabaran ini, ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan amat penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan.

“Kerajaan turut menggembleng usaha menjamin keterjaminan bekalan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber dan meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz,” katanya dalam hantaran Facebook selepas nempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN