Kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Kinchir, Pekan menjuarai Kategori Bowl Kejohanan Ragbi Antarabangsa KL Tigers 10s di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini membuktikan semangat juang mampu mengatasi segala kekangan.
Lebih membanggakan, sekolah berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) itu mencipta kejutan apabila menewaskan lebih 40 pasukan terdiri daripada sekolah dan kelab ragbi dari dalam serta luar negara.
Kemenangan tersebut sekali gus mengangkat nama sekolah kecil luar bandar itu ke pentas antarabangsa.
Ia juga menjadi bukti kecekalan dan disiplin mampu menyaingi pasukan yang lebih besar dan berpengalaman.
Jurulatih pasukan, Hafizuddin Hamdan Ros berkata, kejayaan itu membuktikan sekolah kecil dengan kira-kira 120 murid dan 15 guru juga mampu melakar pencapaian besar.
Katanya, kekuatan sebenar pasukan terletak pada semangat dan kesungguhan pemain yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Menurutnya, pasukan dikenali sebagai Kinchir Warrior Rugby itu sebenarnya baru ditubuhkan pada November 2025.
Penubuhan tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid dalam sukan ragbi.
Katanya, penyertaan pertama ialah dalam Kejohanan Ragbi Bawah 11 Tahun Peringkat Pahang di SK Runchang, Rompin.
Penyertaan itu menjadi medan pembelajaran dan pengalaman awal kepada pemain muda.
“Selepas itu kami menyertai KL Tigers International 10s di Bukit Kiara yang menghimpunkan pasukan dari pelbagai negara.
“Alhamdulillah, SK Kinchir berjaya muncul juara kategori Bowl walaupun bersaing dengan pasukan lebih berpengalaman,” katanya.

Tambahnya, SK Kinchir menghantar dua pasukan dalam kejohanan tersebut.
Pasukan itu melibatkan kategori bawah 12 tahun perempuan serta bawah lapan tahun lelaki.
Menurut Hafizuddin, semua kejohanan yang disertai mendapat pengiktirafan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan.
Katanya, pengalaman sebagai bekas pemain Sukan Malaysia (Sukma) Pahang 2008 dan 2011 serta pengadil ragbi banyak membantu dalam melatih pemain.
Ujarnya, latihan yang dijalankan memberi penekanan kepada disiplin, kemahiran asas dan semangat berpasukan.
Tambahnya, cabaran utama sekolah kecil ialah kekangan kewangan untuk menyertai kejohanan di luar daerah dan negeri.
Namun begitu, pasukan Kinchir Warrior Rugby mendapat sokongan penajaan daripada Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA).
Sokongan tersebut membantu menampung kos penyertaan dan logistik pasukan.
Dalam masa sama, ia menjadi pemangkin penting kepada kejayaan dicapai.

Selepas Aidilfitri ini, dia merancang membawa pasukan menyertai lima hingga enam lagi kejohanan bagi memberi lebih pendedahan kepada pemain muda.
Sementara itu, Ketua Pasukan SK Kinchir, Riscy Dasar Wandy Amri, 11, berkata, kemenangan tersebut memberi pengalaman berharga kepada dirinya dan rakan-rakan.
Katanya, walaupun berdepan pasukan lebih kuat, mereka tetap bermain bersungguh-sungguh.
Guru Besar SK Kinchir, Abdul Murad Awang pula berkata, status sekolah kecil bukan penghalang untuk mencipta kejayaan.
Katanya, walaupun mempunyai kira-kira 120 murid dan terletak di kawasan perkampungan tradisional, sekolah itu terus komited melahirkan bakat sukan.
Jelasnya, penubuhan pasukan ragbi menjadi antara usaha membuka ruang kepada murid menyerlah.
Inisiatif itu juga membantu membina keyakinan diri dalam kalangan murid.
Buktinya, beberapa kejayaan dicapai melibatkan peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Menurutnya, kebanyakan pemain terdiri daripada murid dari Kampung Salong, Kampung Kinchir dan Kampung Terapai.
Selain itu, terdapat juga pemain dari kawasan perkampungan Orang Asli di Tanah Merah.

Katanya, latar belakang kehidupan kampung tidak menghalang mereka menunjukkan komitmen tinggi.
“Semangat mereka sangat luar biasa dan disiplin ketika latihan amat membanggakan,” katanya.
Kata Abdul Murad, ragbi bukan sekadar sukan tetapi platform membentuk sahsiah, keberanian dan semangat kerjasama dalam kalangan murid.
Menurutnya, latihan yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman membantu meningkatkan kemahiran pemain.
Justeru, pihak sekolah menyasarkan pencapaian lebih baik pada masa hadapan.
Usaha itu akan diperkukuh melalui latihan lebih tersusun dan penyertaan dalam lebih banyak kejohanan.
Selain ragbi, SK Kinchir juga mempunyai tradisi dalam sukan kriket.
Beberapa murid pernah mewakili peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Kejayaan itu membuktikan sekolah kecil tersebut tidak pernah ketandusan bakat.










