DUBAI: Selat Hormuz kekal dibuka kepada semua kapal dagang kecuali yang mempunyai kaitan dengan musuh Iran menurut wakil negara itu kepada agensi maritim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Kenyataan itu dibuat susulan amaran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengugut untuk menyasarkan loji tenaga Iran sekiranya laluan strategik itu tidak dibuka sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.
Ketegangan yang memuncak susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran menyebabkan kebanyakan kapal dagang kini mengelak daripada melalui selat sempit berkenaan.
Selat Hormuz merupakan laluan penting yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kejutan bekalan tenaga global.
Wakil Iran, Ali Mousavi berkata, Tehran bersedia bekerjasama dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi meningkatkan keselamatan maritim serta melindungi pelaut di perairan Teluk.
Menurutnya, kapal yang tidak mempunyai kaitan dengan musuh Iran masih boleh melalui selat itu dengan syarat menyelaras aspek keselamatan dan perlindungan bersama pihak berkuasa Iran.
“Diplomasi kekal menjadi keutamaan Iran. Namun, penghentian sepenuhnya tindakan agresif serta pembinaan semula kepercayaan bersama adalah lebih penting,” katanya.
Tambah beliau, serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran menjadi punca utama kepada situasi tegang yang berlaku di Selat Hormuz ketika ini.-AGENSI










