SEREMBAN: Tujuh buah kapal milik Malaysia yang dilaporkan terkandas di Selat Hormuz kini sedang menunggu kebenaran Iran untuk melalui kawasan berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kapal-kapal berkenaan tidak ditahan sebaliknya hanya menunggu masa sesuai untuk bergerak bagi memastikan keselamatan pelayaran susulan situasi tegang di Asia Barat ketika ini.
Menurutnya, kerajaan Malaysia juga telah melakukan rundingan awal bersama pihak Iran yang memberi maklum balas positif terhadap permohonan supaya semua kapal-kapal Malaysia itu dibenarkan untuk melalui Selat Hormuz.
“Perkara ini disusuli dengan panggilan oleh Perdana Menteri kepada Presiden Iran yang menguatkan lagi permohonan kita.
“Iran menyatakan tiada isu untuk membenarkan kapal kita melalui, buat masa sekarang ini yang dilepaskan adalah kapal yang membawa kargo. Bagi kapal tangki, mereka perlu tunggu dahulu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Rembau di Rantau semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, tujuh buah kapal milik Malaysia dengan empat daripadanya sarat membawa muatan minyak mentah dilaporkan terkandas di Selat Hormuz dan belum dapat meneruskan pelayaran pulang ke negara ini.
Mohamad menambah, komunikasi antara pusat arahan di Teheran dan komander di lapangan kadangkala terganggu akibat situasi konflik, menyebabkan pergerakan kapal perlu ditangguhkan sementara.
Katanya, dalam keadaan semasa yang tegang, mereka perlu pastikan koordinasi berjalan lancar bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia akan menghantar nota diplomatik bagi menolak kenyataan seorang senator Filipina yang membangkitkan tuntutan terhadap Sabah.
Katanya, tindakan berkenaan hanyalah usaha bagi mengalih perhatian rakyat Filipina daripada isu dalaman dihadapi negara itu.
“Kerajaan Filipina pun tidak boleh buat apa, kerana senator mereka macam pembangkang kita di sini yang bercakap.
“Saya yakin ini setelah banyak percakapan banyak tuntutan dibuat, ia tidak pernah mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, tambah pula Filipina kini merupakan Pengerusi ASEAN,” katanya.-UTUSAN










