Sektor pertanian Perlis terjejas akibat cuaca panas, kemarau

Sektor pertanian Perlis terjejas akibat cuaca panas, kemarau

CUACA panas melampau yang mencecah 37 sehingga 40 darjah Celsius menyebabkan kebakaran yang memusnahkan tanaman di sebuah kebun harumanis di Semadong, Chuping, Padang Besar, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Cuaca panas dan kemarau memberi kesan kepada sektor pertanian di negeri ini yang menjejaskan kira-kira 845 petani membabitkan keluasan 846.35 hektar meliputi tanaman padi, harumanis dan sayur.

Paling teruk terjejas tanaman padi yang membabitkan kerugian mencecah RM2.7 juta khususnya di kawasan Bintong, Kubang Gajah, Beseri, Mata Ayer dan Paya.

Anggaran kerugian tanaman harumanis yang terbakar kesan cuaca panas pula mencecah RM980,695.

Sehubungan itu, Jabatan Pertanian negeri telah mengambil langkah segera dengan membekalkan 40 unit pam air ke kawasan sawah yang kering manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan 80 unit pam bergerak.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, beberapa kawasan terjejas juga telah dilaksanakan pembangunan telaga tiub bagi sumber air bawah tanah.

Katanya, selain itu, keadaan tanaman juga dipantau secara berterusan dengan kerjasama pelbagai agensi selain pendaftaran skim Takaful Tanaman Padi (STTP) digalakkan untuk membantu petani menghadapi kemarau tahun ini.

HAFIZUDDIN OTHMAN

“Tabung bencana pertanian untuk lain-lain tanaman juga telah diaktifkan untuk membantu para petani. Pelbagai pendekatan lain turut dibincangkan termasuk strategi pengurusan air, sokongan input pertanian dan program latihan praktikal kepada petani bagi memastikan aktiviti pertanian dapat diteruskan.

“Langkah-langkah ini bertujuan meningkatkan daya tahan tanaman dan mengurangkan kerugian akibat cuaca panas berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Hafizuddin berkata, cuaca panas berterusan memberi kesan terhadap sektor pertanian khususnya daripada segi pengeluaran hasil, kerosakan tanaman serta pendapatan petani.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penurunan hasil tanaman utama seperti padi, harumanis dan sayuran akibat kekurangan sumber air dan tekanan haba tinggi.

“Daripada aspek kerugian, pengeluaran hasil pertanian didapati merosot sehingga mengakibatkan kerugian kewangan kepada petani akibat hasil tidak dapat dituai di samping peningkatan kos operasi seperti penggunaan pam air dan sistem pengairan tambahan. Kekurangan bekalan air turut menjejaskan jadual tanaman serta menurunkan produktiviti ladang.

“Selain itu, cuaca panas menyebabkan kerosakan tanaman seperti kekeringan, pertumbuhan terbantut serta kegagalan pembentukan hasil. Keadaan tanah yang kering dan merekah turut menjejaskan keupayaan tanaman menyerap air dan nutrien. Dalam masa sama, serangan perosak dan penyakit didapati meningkat berikutan keadaan tanaman yang lemah.

“Bagi tanaman harumanis, kesan cuaca panas adalah lebih ketara terutama di kawasan yang tidak mempunyai sumber air untuk pengairan yang mencukupi. Antara kesan dikenal pasti termasuk buah menjadi kecut, keguguran buah serta keguguran putik sekali gus menjejaskan kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran yang sepatutnya melebihi dari tahun sebelumnya bagi kawasan tiada sumber air,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan, fenomena cuaca panas berterusan memberi impak besar kepada kelangsungan sektor pertanian di Perlis dan memerlukan langkah segera bagi mengurangkan kerugian serta memastikan kestabilan pengeluaran makanan.

Sementara itu, beliau berkata, cuaca panas di Perlis kali ini disifatkan luar biasa berbanding fenomena El Nino sekitar 10 tahun lalu apabila mencapai Tahap 2 gelombang haba dengan suhu melebihi 37 darjah Celsius secara berterusan.

“Keadaan ini dipengaruhi oleh faktor pengurangan taburan hujan dan mencerminkan trend peningkatan kejadian cuaca ekstrem di Malaysia.

“Impaknya memberi kesan yang ketara terhadap sektor pertanian di Perlis termasuk penurunan hasil tanaman seperti padi, sayuran dan tanaman lain serta kerosakan tanaman khususnya harumanis selain turut memusnahkan beberapa kebun akibat kebakaran,” katanya.

KEBANYAKAN mempelam harumanis rosak disebabkan cuaca panas yang menyebabkan kebakaran di sebuah kebun di Semadong, Chuping, Padang Besar, Perlis semalam.

Dalam pada itu, seorang pengusaha harumanis dari Kampung Baru, Sungai Batu Pahat, Muhammad Zamri Mi, 52, berkata, cuaca panas yang berlarutan menyebabkan kebanyakan kebun terjejas akibat ketiadaan sumber air.

“Musim panas melampau ini, ada kebun yang menjadi, tetapi banyak juga yang tidak menjadi. Bila cuaca terlalu panas menyebabkan air sungai dan parit kering, sekali gus sukar menyalurkan sumber air ke kebun. Pekebun yang hendak sentiasa menggunakan air paip bimbang menelan kos tinggi untuk kapasiti besar.

“Disebabkan kebun saya sendiri kurang menjadi, saya mengambil inisiatif mendapatkan bekalan harumanis daripada kebun-kebun kelompok yang berdaftar dan menerima bimbingan Jabatan Pertanian dan langkah ini bagi memastikan kualiti buah terjamin,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN