PETALING JAYA: Sektor perhutanan dan pertanian negara mencatatkan sumbangan berjumlah RM6.006 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tahun lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, jumlah itu menunjukkan impak ekonomi positif melalui aktiviti pengusahasilan hutan secara mampan yang merangkumi pengeluaran hasil hutan dan pembalakan.
Beliau berkata, sektor perhutanan turut menyumbang kepada peluang pekerjaan, perdagangan serta potensi baharu seperti perdagangan karbon dan perkhidmatan ekosistem.
Katanya, ia bertepatan dengan tema Hari Hutan Antarabangsa tahun ini iaitu Hutan dan Ekonomi (Forests and Economies) yang meraikan peranan penting hutan dalam memacu kemakmuran ekonomi global.
“Hutan merupakan aset semula jadi negara yang amat bernilai dan memainkan peranan penting dalam menjamin keseimbangan ekosistem serta kesejahteraan kehidupan.
“Selain itu, hutan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dengan bertindak sebagai penyerap karbon semula jadi yang membantu menstabilkan suhu global dan mengurangkan pemanasan bumi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Selain itu, Arthur berkata, Malaysia kini mempunyai 5.92 juta hektar kawasan hutan yang mendapat pensijilan pengurusan hutan lestari di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).
Katanya, pensijilan itu memastikan sumber kayu negara diurus secara sah dan mampan di samping membantu mengurangkan penyahhutanan serta memelihara alam sekitar.
Arthur berkata, kerajaan turut menetapkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) sebanyak 890,000 hektar bagi RMKe-13, lebih rendah berbanding 1.165 juta hektar sebelum ini sebagai langkah pemuliharaan hutan.
“Pendekatan ini penting bagi menyeimbangkan keperluan ekonomi dan kelestarian alam sekitar selain memastikan bekalan kayu kekal stabil.
“Kerajaan juga mempergiat pembangunan ekopelancongan berasaskan hutan sebagai alternatif kepada aktiviti pembalakan konvensional, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN










