PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Azza Elite tampil membidas kenyataan seorang individu bergelar Datin yang mengkritik penampilannya yang dikatakan tidak semenggah.
Kata Azza atau Nor Azah Aziz, individu tersebut bahkan mendakwa dirinya perasan popular namun, penyanyi itu enggan mengambil pusing dengan tohmahan tersebut.
“Angin tak ada, ribut pun tak ada, tiba-tiba Datin ini cakap Azza itu tak semenggah, perasan top tapi sendu.
“Alhamdulillah, Datin kata saya tak semenggah mungkin sebab cara saya berpakaian itu. Terima kasih juga kepada Datin. Nanti saya pakailah lawa-lawa ya.
“Sendu pula? Okeylah tu. Saya sudah merasa zaman Elite. Saya pun dah tua macam Datin. Eloklah kita sendu sikit dari dunia artis sebab saya tak bawa status ke alam kubur. Sendu itu pilihan saya,” katanya di Threads.
Tambah Azza, dia memilih untuk tidak bergerak aktif dalam industri seni kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan yang diusahakan.
“Kalau saya tunjuk pada Datin tawaran orang ajak shooting nanti, Datin pula yang kelu. Saya kurangkan aktiviti seni sebab sekarang saya berniaga. Duit tetap masuk, Datin,” jelasnya.
Tidak terhenti di situ, penyanyi lagu Trauma tersebut sempat memohon maaf kepada individu berkenaan andai tidak sengaja mengguris hatinya tanpa sedar.
“Setakat ini saya tak ada musuh pun, tapi Datin macam kenal saya eh. Atau saya yang lupa nak salam Datin? Maaf sangat. Saya ni blur sikit dan segan bila pergi majlis orang. Maklumlah, saya peniaga jalanan. Saya ada masalah rendah diri.
“Tapi saya risau juga, kalau Datin sebenarnya pernah jadi peminat saya. Masa saya jadi Miss J dulu, lebih daripada Dato’ dan Dato’ Sri pernah cuba mendekati, tapi saya tak berminat sebab semua itu suami orang,” selorohnya.
Kekal dengan prinsipnya, Azza mengakui dirinya tidak kisah penampilannya kini menerima kritikan sedemikian selagi pemakaiannya mematuhi tuntutan agama.
“Sebelum saya berhenti, biarlah orang kata tak semenggah pun, asalkan saya cuba tutup aurat walaupun belum sempurna. Biar sendu di dunia, supaya pada umur macam kita ini, kita kembali kepada Allah. Sabar ya, Datin,” ujarnya.










