‘Saya mahu hukuman berat pemandu mabuk langgar suami’

‘Saya mahu hukuman berat pemandu mabuk langgar suami’

NOR Nadia Abdul Majid bersama tiga anaknya ketika ditemui pemberita di Kampung Repoh, Batu Kurau di Larut, Perak hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Isteri dan ibu kepada lelaki yang maut dilanggar pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol di Klang, Selangor semalam mahu hukuman berat dikenakan terhadap pemandu tersebut.

Nor Nadia Abdul Majid, 32, mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pemandu kereta yang menyebabkan kematian tragis suaminya, Amirul Hafiz Omar, 33.

“Saya tidak menyangka suami saya dilanggar dengan kejam oleh pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol. Suami saya tidak bersalah, saya mahu pelakunya dikenakan hukuman yang berat.

“Kami sekeluarga kehilangan orang yang kami sayangi hanya kerana perbuatan pemandu itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Repoh, Batu Kurau di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika suaminya dalam perjalanan membeli keperluan sekolah anak mereka sebelum dia menerima berita tentang kejadian itu daripada pihak polis.

Katanya, suaminya dalam perjalanan untuk membeli buku teks matematik bagi anak sulungnya sebelum dilanggar kereta di Jalan Barat Daya Klang, Klang kira-kira 11 pagi semalam.

“Suaminya saya merupakan tonggak keluarga dan pemergiannya sudah tentu memberi kesan besar kepada anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Pasangan itu mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Aqif Amsyar Amirul Hafiz, 9, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2.

Sementara itu, ibu mangsa, Faridah Ahmad, 56, berkata, dia terkejut dengan kemalangan yang menimpa anaknya itu.

Menurutnya, dia baru sahaja berjumpa dengan anaknya itu semasa hari raya baru-baru ini malah mereka bersama-sama pergi ke majlis kenduri.

Katanya, ketika itu anaknya bergurau dengan berkata dia hendak masuk berita dalam televisyen.

“Kami ingatkan dia bergurau saja, rupa-rupanya itu petanda dia meninggalkan kami semua.

“Memang sakit rasanya apabila melihat (rakaman video) sehingga melambung anak saya, sampai hati pemandu itu melanggar anak saya sehingga mati begitu.

“Rasa hiba dan kecewa hati saya apabila melihat rakaman tular rakaman papan pemuka kereta apabila anak saya dilanggar melambung tinggi dan jatuh atas kereta hingga maut,” katanya

Menurutnya, anaknya itu seorang yang penyayang dan bertanggungjawab dan sempat meluangkan masa bersamanya malah memasak untuknya ketika dia berhari raya di rumah anaknya itu di Shah Alam baru-baru ini.

“Dia sempat peluk saya dan minta maaf sebelum saya balik ke Batu Kurau. Dia kata tak dapat bantu banyak sebab sibuk kerja cari rezeki,” katanya.

Sementara itu, jenazah Amirul Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh di sini semalam. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN