KANGAR: Seorang peniaga cemas apabila rumahnya terbakar sewaktu melakukan persediaan untuk berniaga di bazar Ramadan dalam kejadian di Kampung Kota, di sini hari ini.
Menurut anak mangsa, Nazima Abd Latif, 42, berkata, kebakaran itu melibatkan kediaman ibunya yang terjejas pada bahagian tepi rumah berikutan kejadian itu.
Nazima berkata, sewaktu kejadian, terdapat tujuh orang di rumah tersebut termasuk ibunya yang sedang memasak dan membuat persediaan bagi berniaga di bazar Ramadan.
“Semasa memasak, tiba-tiba mak dengar orang jerit di luar rumah dan kemudian bila tengok di luar api sudah marak dan semakin menghampiri rumah jiran kami. Semua di dalam rumah itu melarikan diri menyelamatkan diri berikutan api mula marak membakar bahagian tepi rumah sehingga menyebabkan sistem pendawaian rumah meletup,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Nazima berkata, dia belum dapat mengenalpasti jumlah kerugian akibat kebakaran itu dan masih belum membuat penilaian berhubungnya.
“Tiada mana-mana ahli keluarga cedera akibat kebakaran tersebut. Kami bersyukur tiada yang cedera bagaimanapun rumah jiran kami juga teruk dan musnah dalam kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kangar, Hairi Rahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.42 pagi dan jentera menyelamat tiba di lokasi dalam tempoh enam minit bagi melakukan kerja-kerja pemadaman.
Hairi berkata, sejurus tiba, pihaknya mendapati kebakaran itu melibatkan dua buah rumah kelas B dan sebuah rumah kelas C.
“Kebakaran itu juga telah menyebabkan ketiga-tiga buah rumah musnah terbakar 100 peratus namun tiada mangsa dilaporkan cedera,” kataya.
Hairi berkata, anggota JBPM mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kediaman lain.
Katanya, seramai 14 anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kangar dan Kuala Perlis bersama sebuah jentera dan satu water tank telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu kerja pemadaman.
“Kerja pemadaman sedikit terganggu disebabkan akses jentera untuk masuk agak sukar kerana laluan sempit namun perkara itu dapat ditangani dengan sebaiknya,” katanya. -UTUSAN










