RON95 dijangka kekal pada RM1.99, bekalan mencukupi sehingga Mei - Utusan Malaysia

RON95 dijangka kekal pada RM1.99, bekalan mencukupi sehingga Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dijangka mengekalkan subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter pada tahun ini, meskipun berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat yang mendorong harga minyak mentah melonjak.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn. Bhd., Kenny Yee Shen Pin berkata, secara keseluruhan, Malaysia masih agak terlindung daripada kejutan kenaikan harga minyak global.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengulangi bahawa rizab minyak negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei. Diharapkan pada ketika itu, keadaan ketegangan di Asia Barat akan menjadi lebih jelas.

“Jika tahun ini adalah tahun pilihan raya (berdasarkan laporan media asing), saya menjangkakan harga RON95 akan kekal pada paras semasa iaitu RM1.99 seliter,” katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai Prospek Pasaran bagi suku kedua secara dalam talian di sini semalam.

Beliau berkata, prestasi pasaran sebahagian besarnya bergantung kepada tempoh perang Amerika Syarikat (AS) dengan Iran dan kesannya terhadap harga minyak mentah.

Katanya, walaupun Presiden AS, Donald Trump yakin dalam peperangan tersebut, pihaknya percaya perang tersebut akan berlarutan.

“Sama ada AS akan menghentikannya masih belum dapat dilihat kerana perang ini akan menelan belanja anggaran AS$1 bilion (RM3.93 bilion) sehari.

“Jika berlarutan, kami menjangkakan minyak mentah Brent akan melonjak melebihi AS$100 (RM393.38) setong yang akan memudaratkan kemajuan ekonomi global,” ujarnya.

Mengulas mengenai kenaikan terhadapan pasaran negara ini, beliau berkata, ekonomi dan sektor korporat Malaysia masih mampu menangani peningkatan harga minyak mentah jika kekal sekitar AS$100 setong (RM393.38)

“Namun sekiranya harga minyak meningkat dengan ketara kepada AS$120 (RM472.06), AS$150 (RM589.87) atau bahkan AS$200 (RM786.63) setong, itu akan menjadi situasi yang berbeza.

“Pada masa ini, Malaysia berada dalam kedudukan yang agak baik untuk menyerap kesan harga minyak yang lebih tinggi.

“Bagi tahun 2026, pertumbuhan pendapatan korporat dijangka meningkat pada 7.9 perarus terutamanya disebabkan oleh asas yang lebih rendah pada tahun 2025. Kami memperkenalkan ramalan pertumbuhan pendapatan untuk tahun 2027 yang agak kukuh pada 6.5 peratus.

“Bagi sektor perbankan pula, pertumbuhan pendapatan dijangka sekitar 4.5 peratus bagi 2025 dan 2026, yang secara umumnya selaras dengan jangkaan,” jelasnya.

Tambahnya, satu daripada sektor yang mungkin menjadi ‘dark horse’ ialah sektor perladangan.

“Banyak penganalisis menggunakan anggaran harga purata minyak sawit mentah (MSM) sekitar RM4,200 setan, namun ketika ini harga berada sekitar RM4,500 satu tan.

“Jika keadaan ini berterusan, mungkin terdapat semakan naik terhadap unjuran pendapatan syarikat perladangan,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN