KUALA LUMPUR: Industri animasi tempatan terus menunjukkan perkembangan apabila siri aksi adiwira robot, Robozeta, kembali ditayangkan bagi memperkukuh kehadiran karya animasi tempatan dalam industri kreatif negara.
Karya berkenaan dilihat membawa pendekatan yang berbeza dalam landskap animasi Malaysia, khususnya menerusi gabungan elemen aksi robot gergasi dengan gaya penceritaan yang lebih santai dan mudah diikuti.
Kehadiran semula siri itu bukan sahaja menarik minat peminat sedia ada, malah memberi peluang kepada penonton baharu untuk mengenali antara produk animasi tempatan yang pernah mendapat perhatian sebelum ini.
Dalam konteks kandungan, Robozeta antara siri awal tempatan yang mengetengahkan konsep pertarungan robot gergasi, satu genre yang lazimnya didominasi oleh produksi luar negara.
Pendekatan penceritaan yang menyasarkan kelompok penonton lebih luas, termasuk kanak-kanak, remaja dan dewasa muda, turut menjadi antara faktor yang membezakan siri tersebut.
Selain itu, gabungan rekaan watak yang ringkas dan mudah dikenali bersama elemen aksi berskala besar menjadikan ia sesuai sebagai tontonan umum.
Setakat ini, siri tersebut telah berkembang kepada empat musim dengan keseluruhan 52 episod, sekali gus mencerminkan kesinambungan penghasilan kandungan animasi tempatan dalam genre berkenaan.
Perkembangan ini memperlihatkan bahawa animasi tempatan masih mempunyai ruang untuk berkembang, khususnya dalam meneroka tema aksi dan sains fiksyen yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton.
kemunculan semula siri seperti Robozeta dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dan ia akan kembali ditayangkan bermula minggu ini.-UTUSAN











