MARANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperuntukkan RM800,000 bagi mengatasi masalah lambakan tembikai yang menjejaskan peserta ladang kontrak di negeri ini.
Timbalan Pengarah (Operasi) FAMA Terengganu, Ahmad Rafiee Musa berkata, peruntukan itu melibatkan pembelian sehingga 750 tan metrik tembikai merah tanpa biji gred AA dan A daripada pengusaha, khususnya peserta di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating dan Alur Ketitir.
Sehingga kini sebanyak 295 tan metrik tembikai dengan kos RM300,000 dibeli daripada pengusaha terutama di daerah ini.
“Lebihan pengeluaran di Perak, Johor dan Pahang menyebabkan berlaku kejatuhan harga tembikai di pasaran sekali gus memberi kesan kepada pengusaha di Terengganu,” katanya ditemui di TKPM Serating, di sini, semalam.
Harga lantai ditetapkan ialah RM0.85 sekilogram bagi pembelian tembikai merah daripada petani dengan tawaran tambahan RM0.20 sekilogram kepada pengusaha memiliki pensijilan Skim Persijilan Amalan Pertanian Baik (MyGAP).
Ketetapan harga bagi memastikan kestabilan pasaran dan mengelak pengusaha menanggung kerugian akibat kejatuhan harga.
Peserta TKPM Serating, Ahmad Sharif Salim, 61, bersyukur atas inisiatif itu dalam mengelakkan petani mengalami kerugian yang lebih besar.
Dia yang mengusahakan kira-kira 6,000 pokok tembikai di kawasan seluas 2.8 hektar berkata, hampir 40 tan metrik hasil dituai dalam tempoh tiga hari. – UTUSAN










