KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarynn Min berlapang dada walaupun namanya tidak popular seperti kebanyakan pelakon wanita lain.
Kata Zarynn populariti bukan perkara yang dikejarkan sebaliknya peluang bekerja dalam bidang yang diminati menjadi keutamaan.
“Saya tidak nafikan ramai yang kenal muka saya tapi tidak tahu nama.
“Saya tidak ada masalah dengan perkara itu sebab saya lakukan kerja (lakonan) ini pun kerana minat.
“Jujur, sebenarnya beberapa kali juga saya putus asa dalam bidang ini. Tapi minat itu yang mendorong saya teruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Disoal mengenai bayaran lakonan, Zarynn memaklumkan dia mengamalkan perbincangan sebelum membuat ketetapan.
“Saya boleh bertolak ansur tetapi tidak pada bayaran yang terlalu rendah.
“Kebiasaannya wakil syarikat produksi akan terlebih dahulu tanya berapa kadar bayaran yang saya letakkan.
“Tapi sebelum tentukan saya akan tengok sama ada watak itu berat atau tidak, berapa jumlah babak dan hari penggambaran.
“Itu cara saya membuat rundingan dengan syarikat produksi,” kongsinya.










