Rakyat Malaysia diminta tangguh umrah, ziarah, operasi evakuasi rakyat terjejas diatur

Rakyat Malaysia diminta tangguh umrah, ziarah, operasi evakuasi rakyat terjejas diatur

JEMAAH umrah yang akan berangkat ke Jeddah terkandas menunggu situasi semasa berikutan penutupan ruang udara susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar menasihatkan warganegara Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas susulan peningkatan ketegangan konflik semakin memuncak di Asia Barat.

Wisma Putra memaklumkan, nasihat itu turut terpakai kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengerjakan umrah atau ziarah sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kelak.

Sehubungan itu, Kementerian ini memohon kerjasama dan kefahaman semua pihak, termasuk agensi pelancongan.

Pada masa sama, katanya, pihak kementerian sedang bekerjasama dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia, kerajaan negara-negara berkaitan serta syarikat penerbangan bagi mengatur usaha evakuasi rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara.

“Usaha evakuasi ini juga meliputi rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air, berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar.

“Rakyat Malaysia digesa untuk segera mendaftar dan mengemaskini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia yang terdekat, atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my, bagi memudahkan penyelarasan evakuasi tersebut,” katanya malam ini.

Menurut Wisma Putra, Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara-negara terjejas telah berhubung dengan rakyat Malaysia sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular.

Ini termasuk mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk tujuan perancangan kontingensi.

“Rakyat Malaysia di negara-negara terjejas digesa supaya sentiasa mengamalkan tahap kewaspadaan yang tinggi, mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam.

“Patuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Kementerian akan memastikan usaha evakuasi ini dilaksanakan dengan sebaiknya dengan kerjasama semua pihak berkaitan demi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN