KUANTAN: Keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan awal kanak-kanak terus meningkat apabila lebih 120,000 kanak-kanak tdidaftarkan untuk kemasukan ke prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah pendaftaran tersebut menunjukkan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa yang memilih prasekolah kendalian kementerian itu untuk pendidikan awal anak-anak mereka.
Katanya, perkembangan itu juga mencerminkan sokongan masyarakat terhadap usaha kerajaan memperkukuh pendidikan prasekolah di negara ini.
“Semua ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif berkaitan pendidikan negara dan saya percaya ibu bapa juga mendukung hasrat serta aspirasi KPM. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada ibu bapa atas kepercayaan ini, ia perkembangan yang sangat baik untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajah Kalsom Bandar Damansara, di sini hari ini.
Menurut Fadhlina, antara faktor yang menjadikan prasekolah KPM pilihan ibu bapa adalah kualiti pendidikan yang ditawarkan selain akses pendidikan prasekolah secara percuma.
Katanya, tenaga pengajar yang berkelayakan dan terlatih serta kemudahan prasarana sekolah yang lengkap turut menjadi antara tarikan utama kepada ibu bapa. – UTUSAN










