KUALA TERENGGANU: Lapan parti politik utama berteraskan Islam, Melayu dan bumiputera mencipta sejarah berhimpun dalam satu pentas menerusi Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur petang ini.
Antara parti terlibat adalah UMNO, Pas, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, KIMMA, dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama itu yang dicetuskannya untuk menghimpunkan pelbagai parti-parti tanpa mengira kira dari blok kerajaan atau pembangkang demi maslahah ummah serta Islam.
Katanya, musyawarah itu menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan bumiputera di negara ini.
“Hakikatnya, dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang. Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik.
“Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya menerusi laman Facebook beliau.
Menurut Asyraf Wajdi, wakil-wakil parti politik yang hadir sepakat untuk ditubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.
Katanya, ia sebagai platform atau wahana yang menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu serta bumiputera. – UTUSAN










