KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia di Doha, Qatar menggambarkan situasi keselamatan di negara itu kian tegang apabila beberapa dentuman kuat dipercayai letupan peluru berpandu kedengaran pagi semalam tanpa sebarang amaran awal.
Individu yang dikenali Yasmin menetap di kawasan West Bay berkata, bunyi letupan kira-kira pukul 7.35 pagi waktu tempatan itu begitu kuat sehingga menggegarkan pintu gelangsar kediamannya di tingkat 10.
“Lebih lapan dentuman kuat kedengaran, sebelum ini kami terima amaran kecemasan dan notifikasi telefon dahulu, kemudian baru letupan kedengaran. Jadi kami sempat bersedia.
“Pagi tadi (semalam) tiada amaran langsung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Yasmin berkata, ruang udara Qatar masih ditutup dan tiada sebarang arahan pemindahan dikeluarkan oleh pihak kedutaan Malaysia.
Arahan terkini diterima rakyat Malaysia di sana ialah supaya kekal berada di dalam rumah kerana serpihan misil yang dipintas sistem pertahanan udara boleh jatuh di mana-mana lokasi.
“Tempat paling selamat sekarang ialah di dalam rumah. Sekolah dan pejabat juga diarahkan beroperasi secara jarak jauh,” katanya.
Serangan kali ini merupakan yang ketiga dialaminya sejak menetap di negara itu, selepas insiden pada Jun dan September tahun lalu, namun situasi kali ini, paling lama dan cemas.
Katanya, keutamaan ketika ini ialah mengawal emosi bagi mengelakkan tekanan melampau, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang ketakutan akibat bunyi dentuman kuat.
“Kami sudah siapkan beg berisi dokumen penting dan barangan keperluan asas sebagai persediaan. Setakat laporan diterima, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kami mohon rakyat Malaysia doakan keselamatan, kami semua dalam ketakutan lebih-lebih lagi apabila melihat negara jiran turut berdepan situasi sama,” katanya. – UTUSAN










