GEORGE TOWN: Kerajaan negeri kini memberi tumpuan khusus kepada isu berkaitan tanah serta penempatan semula penduduk yang terlibat dengan jajaran projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang kini sedang giat dilaksanakan di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pada masa ini, pelbagai kerja di tapak projek sedang berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.
Menurutnya, aspek berkaitan tanah serta penempatan semula penduduk merupakan tanggungjawab kerajaan negeri, manakala perkara lain seperti kejuruteraan dan kontrak berada di bawah bidang kuasa pihak MRT Corp (MRTC) serta kontraktor dilantik.
“Memang amat rancak kerja-kerja berjalan. Bagi pihak kerajaan negeri iaitu pada peringkat ini, kita tumpu perhatian kepada isu-isu berkaitan tanah, isu-isu penempatan semula dan sebagainya. Itu semua di bawah tanggungan kita.
“Isu lain seperti kejuruteraan dan kontrak adalah di bawah MRTC dan kontraktor mereka,” katanya ketemui semasa menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Wanita ke-8 Dewan Perniagaan Wanita Pulau Pinang (PWCC) di sini, hari ini.
Projek LRT Laluan Mutiara dengan kos dijangka RM16 bilion telah diluluskan oleh Kabinet dan dibiayai Kerajaan Persekutuan pada Mac 2024, akan dibangunkan oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset.
Projek merangkumi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km) dengan 21 stesen strategik termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A Tebus Guna Selatan Pulau Pinang.
Mengulas jumlah rumah yang terlibat dengan proses pengosongan, Kon Yeow berkata, setakat ini ia cuma melibatkan kira-kira 12 buah rumah di kawasan Sungai Dua.
“Kes ini khusus di Sungai Dua sahaja dan ia tidak banyak kerana jajaran masuk ke kampung berhampiran JPJ Sungai Dua. Jadi, jumlahnya cuma kira-kira satu dozen rumah sahaja,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada kerja-kerja projek akan diteruskan sepanjang musim cuti perayaan, beliau berkata, perkara berkenaan bergantung kepada jadual yang ditetapkan pihak pelaksana projek. – UTUSAN











