GEORGE TOWN: Tiga laluan penerbangan baharu diperkenalkan bulan ini bagi memperkukuh kesalinghubungan udara Pulau Pinang dengan destinasi antarabangsa dan domestik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, laluan itu ialah Phuket (Thailand)-Pulau Pinang, Qingdao (China)-Pulau Pinang dan Senai (Johor)-Pulau Pinang.
“Kerajaan negeri dimaklumkan bahawa AirAsia akan memulakan penerbangan terus Phuket-Pulau Pinang bermula 13 Mac ini manakala Batik Air Malaysia pula akan melancarkan laluan Senai-Pulau Pinang pada 18 Mac.
“Perkembangan tersebut dijangka memberi rangsangan baharu kepada sektor pelancongan Pulau Pinang, selain memperkukuh peranan negeri itu sebagai pintu masuk utama ke wilayah utara Semenanjung,” katanya hari ini.
Beliau berkata, laluan Phuket-Pulau Pinang akan beroperasi empat kali seminggu pada peringkat awal.
Katanya, penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket berlepas pada Isnin dan Ahad pukul 1.50 petang waktu tempatan, sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada pukul 3.55 petang.
“Bagi penerbangan pada Rabu dan Jumaat pula, pesawat dijadualkan berlepas pada pukul 1.10 tengah hari dan tiba di Pulau Pinang pada pukul 3.15 petang manakala laluan Senai-Pulau Pinang oleh Batik Air akan memulakan operasi pada 18 Mac ini dengan satu penerbangan setiap hari.
”Penerbangan Senai-Pulau Pinang dijadual berlepas pada pukul 2.45 petang dan tiba di Pulau Pinang pada pukul 4 petang manakala penerbangan pulang Pulau Pinang-Senai akan berlepas pada pukul 12.30 tengah hari sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada pukul 1.45 petang,” katanya. – UTUSAN











