PETALING JAYA: Pendakwah dan selebriti, PU Rizz atau Muhammad Haris Mohd Ismail menjelaskan bahawa ada adab yang perlu dijaga dalam memberi teguran apalagi jika nasihat diberikan kepada ahli keluarga ipar-duai.
Menurut Haris, walaupun menyeru ke arah kebaikan merupakan satu tuntutan, namun setiap individu perlu memahami ‘lapisan’ tanggungjawab agar tidak mengguris perasaan mana-mana pihak.
Jelasnya, dalam isu melibatkan adik ipar, tanggungjawab untuk memberi teguran secara berterusan atau mendalam sebenarnya masih terletak di bawah bahu ibu bapa individu tersebut, bukannya suami kepada kakak.
“Secara umum kita boleh bercakap (menegur), tetapi jika mahu pergi lebih mendalam seperti bertanya ‘kenapa tak pakai tudung lagi? Astaghfirullah’, itu ada hadnya.
“Secara adabnya, dia juga ada ibu dan ayah. Tanggungjawab untuk menegur lagi dan lagi itu tidak terletak kepada suami kakak. Adalah pelik jika kamu ada adik, tetapi saya pula yang berlebih-lebih menegur adik kamu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah menerusi program audiosiar yang tular, baru-baru ini
Mengulas lanjut, Haris menegaskan kenyataannya itu tidak bermaksud beliau membenarkan kemungkaran berlaku tanpa teguran, namun beliau lebih mengutamakan keutamaan (prioriti) dalam sesebuah institusi kekeluargaan.
Ujarnya, al-Quran sendiri telah menggariskan agar setiap ketua keluarga menjaga diri dan ahli keluarga terdekat terlebih dahulu daripada api neraka.
“Jangan salah faham. Kita tetap tegur dan beri peringatan kerana apabila kemungkaran berlaku, kita kena tegur. Namun, setiap orang ada tanggungjawab yang betul-betul wajib ditegur iaitu isteri, anak-anak dan juga pembantu rumah kita.
“Macam saya sendiri, fardu ain kena ajar. Saya sediakan kelas al-Quran buat semua pembantu rumah saya dan saya tidak ambil ringan perkara itu,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, suami kepada selebriti popular Neelofa ini turut menegaskan bahawa beliau tidak berdiam diri melihat kesilapan berlaku dalam kalangan ahli keluarganya.
Tegas Haris, beliau mempunyai prinsip untuk tetap bersuara terhadap sebarang kesilapan, namun ia dilakukan dengan cara yang penuh hikmah dan menghormati struktur keluarga yang ada.
“Adakah saya diam? Tidak. Saya tiada istilah diam sesiapa pun buat silap termasuklah ahli keluarga sendiri, saya tetap tegur termasuklah adik saya sendiri.
“Tetapi takkanlah sampai setiap hari saya kena telefon adik ipar untuk menegur, sedangkan ada lapisan ibu bapa yang lebih berhak di situ,” katanya. -UTUSAN










