SEREMBAN: Orang ramai berpeluang menunaikan Solat Sunat Aidilfitri buat pertama kali di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban (Arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan di sini.
PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) menerusi kenyataan memaklumkan, inisiatif tersebut merupakan julung kali diadakan sekali gus melakar sejarah sebagai penganjuran pertama solat sunat Aidilfitri di mana-mana lebuh raya dalam negara.
Katanya, penganjuran solat Aidilfitri itu telah mendapat kebenaran rasmi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
“Langkah itu bertujuan bagi menyediakan kemudahan kerohanian kepada pengguna lebuh raya yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman serta petugas di kawasan RnR berkenaan.
“Pemilihan lokasi di RnR Seremban (Arah Selatan) dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai hentian utama dengan aliran trafik tinggi ke arah selatan, khususnya bagi pengguna menuju ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya..
Tambahnya, Surau Madani di RnR tersebut dipilih kerana mempunyai kapasiti pebih besar serta dilengkapi kemudahan selesa bagi menampung jumlah jemaah yang ramai.
Menurutnya, solat sunat Aidilfitri itu dijadualkan berlangsung pada 1 Syawal pukul 8.30 pagi, tertakluk kepada pengumuman rasmi tarikh Hari Raya.
“Inisiatif ini turut mengambil kira keperluan pengguna lebuh raya yang masih dalam perjalanan agar mereka dapat menunaikan ibadah tanpa perlu keluar dari lebuh raya,” katanya. – UTUSAN










