SABAR perlu dana RM500,000 untuk menampung kos perundangan menuntut hak pelantar benua Sabah

SABAR perlu dana RM500,000 untuk menampung kos perundangan menuntut hak pelantar benua Sabah

Madius bersama beberapa pemimpin Sabah yang hadir menandatangani Memorandum Sokongan (MoS) semasa Majlis Berbuka Puasa dengan SABAR baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat Sabah dipelawa bersatu hati menyumbang RM5,000 seorang kepada Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) untuk menampung kos perundangan menuntut hak pelantar benua negeri ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata SABAR sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diterajui rakyat itu memerlukan dana RM500,000 menjelang 30 April 2026 untuk meneruskan cabaran perundangan di Mahkamah Persekutuan.

“Tindakan perundangan itu bertujuan menuntut semula hak pemilikan Sabah ke atas dasar laut, pelantar benua, dan hasil bumi yang terkandung di dalamnya.

“Hak ke atas kekayaan sumber itu termaktub secara sah sejak 1954 mengikut The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council, iaitu sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Namun, penguasaan negeri terhadap wilayah lautnya disempitkan berikutan pelaksanaan Akta Laut Wilayah 2012 (Territorial Sea Act) oleh kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, memaklumkan formula menyelesaikan kekangan kewangan NGO terbabit, jika semua pemimpin Sabah mengetepikan sempadan politik.

“Di Sabah, kita mempunyai seramai 111 orang wakil pelbagai peringkat terdiri 25 ahli parlimen, 73 ADUN, 7 senator dan 6 ADUN Dilantik.

“Jika semua 111 ahli yang berhormat dari Sabah menyumbang RM5,000 seorang, kita akan berjaya mengumpulkan RM555,000,” katanya.

Beliau berkata, jumlah itu bukan hanya melepasi sasaran yang diperlukan, malah akan menjadi bukti kukuh solidariti dalam membela nasib negeri.

Madius memuji inisiatif awal ditunjukkan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin mengambil langkah proaktif menyumbangkan RM5,000 setiap seorang kepada kempen itu.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan SABAR selaku kumpulan rakyat tanpa kaitan dengan parti politik mahupun korporat kini menunjukkan perkembangan positif selepas mereka memenangi hak di sisi undang-undang (Locus Standi).

Katanya, kejayaan melepasi halangan pertama itu membolehkan mereka membawa kes berkenaan ke mahkamah bagi mewakili suara rakyat Sabah.

Sehubungan itu, Madius mempelawa semua rakan kepimpinan menyokong usaha itu demi memastikan hasil kekayaan negeri dapat dikembalikan dan digunakan untuk pembangunan infrastruktur, sekolah, dan hospital di Sabah.

“Selain itu, kempen kutipan dana berkenaan turut dibuka kepada seluruh rakyat yang tergerak hati untuk bersama-sama mendanai yuran perwakilan guaman dan kos penyelidikan mahkamah,” katanya.

Sumbangan awam boleh disalurkan terus ke akaun bank berdaftar pemegang amanah SABAR di CIMB (8010739874) atau melalui imbasan kod DuitNow QR (SABAR-QR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN