Program Pelita Raya Terengganu dapat sambutan

Program Pelita Raya Terengganu dapat sambutan

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang merasai pengalaman berharga mengimbau nostalgia Syawal seperti zaman dahulu pada Program Pelita Raya Terengganu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Program Pelita Raya anjuran Jabatan Pelanco­ngan Negeri Terengganu yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu terus menjadi tumpuan pengunjung apabila menghimpunkan pelbagai penyertaan dari seluruh daerah di negeri ini.

Antara daerah yang mengambil bahagian ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. Setiap daerah menampilkan keunikan tersendiri menerusi pameran dan jualan produk kraftangan serta makanan tradisional.

Tidak ketinggalan, penyertaan daripada badan berkanun dan syarikat swasta yang turut memeriahkan program berke­naan yang bermula 27 Februari lalu hingga 3 Mac.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan di setiap reruai termasuk demonstrasi penyediaan makanan tradisio­nal dan permainan rakyat.

Seorang pengunjung, Sharifah Alia Syed Mohd, 30, berkata, dia ke Program Pelita Raya buat pertama kali dan nyata tidak menghampakan apabila dapat me­nyaksikan pelbagai jenis pelita yang dihias kreatif oleh peserta.

“Banyak perkara menarik boleh dilihat di sini antaranya demonstrasi membuat makanan tradisional dan permai­nan tradisional.

“Saya paling tertarik melihat pelita kekabu dari Besut kerana kini ia jarang dipasang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, wakil dari Perlis, Mohd. Irzat Rozaidy Mohammad Roseli yang juga Pengurus Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkata, ia adalah kali kedua negeri itu menyertai program berkenaan.

Menurutnya, kehadiran Perlis adalah sebagai platform promosi sempena kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026.

“Kita mahu masyarakat Terengganu berkunjung ke Perlis dan melihat sendiri produk pelancongan yang ditawarkan. Kali ini kita memberi fokus kepada produk buah harum manis yang sememangnya sinonim dengan Perlis.

“Seperti yang diketahui, musim pengeluaran harum manis bermula April ini dan promosi ini sangat bertepatan dengan musim tersebut,” katanya.

Menurut Mohd. Irzat, pihaknya me­nyasarkan lima juta kedatangan pelancong ke Perlis pada tahun ini menerusi pelbagai inisiatif promosi yang dirancang.

Program Pelita Raya itu bukan sahaja mengangkat wari­san tradisional negeri, malah menjadi platform mengukuhkan hubungan antara negeri serta mempromosikan produk pelancongan tempatan kepada masyarakat luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×