IPOH: Syarikat kawalan keselamatan, Listen Security Sdn. Bhd. memperuntukkan lebih RM100,000 untuk menggerakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu anak yatim dan golongan asnaf.
Pengarahnya, Suhaini Bakri berkata, pelbagai inisiatif kebajikan telah dilaksanakan sejak 2018, bermula dengan bantuan berskala kecil sebelum diperluaskan kepada penganjuran majlis berbuka puasa dan sambutan perayaan.
Katanya, usaha berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
“Syarikat ini memperuntukkan dana khas untuk disalurkan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf tanpa mengira latar belakang.
“Usaha ini bukan sekadar sumbangan kewangan, sebaliknya turut berkongsi kegembiraan melalui penganjuran jamuan.
“Diharapkan kehadiran kami dapat memberi semangat dan kegembiraan selain motivasi kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan bersama Yayasan An-Nur Maisarah di Chemor, baru-baru ini.
Sementara itu mengulas mengenai majlis berbuka puasa bersama Yayasan An-Nur Maisarah, beliau berkata, pemilihan yayasan itu dibuat kerana menempatkan ramai anak yatim dan asnaf selain beroperasi secara berdikari tanpa bantuan tetap daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, majlis tersebut merupakan kesinambungan kerjasama yang telah dijalinkan sejak tahun lalu, selain menjadi antara lokasi tumpuan program CSR syarikat itu di negeri ini.
“Selain di Perak, program kebajikan turut dilaksanakan di beberapa lokasi lain, namun kami memilih Yayasan An-Nur Maisarah sebagai tanda keprihatinan terhadap usaha mereka membantu golongan memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, selain program CSR sepanjang Ramadan, syarikat itu turut menyalurkan bantuan sempena sambutan Deepavali dan Tahun Baharu Cina. – UTUSAN










