PETALING JAYA: Konflik perang melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran berpotensi mencetuskan kenaikan mengejut harga import kepada negara khususnya membabitkan sektor minyak mentah, makanan dan elektrik selain menjejaskan perdagangan dan pelancongan antarabangsa.
Konflik yang melanda rantau itu juga malah dilihat sebagai isyarat kegawatan ekonomi dunia yang serius dalam tiga hingga empat tahun akan datang.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, harga barangan sektor elektrik dan elektronik atau semi konduktor dijangka meningkat naik kerana kebergantungan negara terhadap komponen daripada AS dalam industri terbabit.
Katanya, konflik tersebut juga dijangka memberi kesan kepada bekalan makanan yang bergantung kepada import bernilai kira-kira RM100 bilion setahun sehingga boleh menyebabkan harga meningkat sekiranya kos import melonjak.
“Antaranya daging dan ayam berikutan kebergantungan kepada dedak import. Selain itu, Malaysia perlu bersedia menghadapi kesan termasuk kemungkinan lonjakan harga minyak mentah yang boleh mencecah antara AS$150 hingga AS$200 setong.
“Permintaan global dalam industri semi konduktor dijangka menurun dan menjadi lebih serius kerana komponen-komponen tersebut banyak diimport dari AS dan Taiwan walaupun proses pemasangan serta pembungkusan semula dibuat di negara ini sebelum dieksport kembali.
“Malah, sektor pelancongan akan terjejas teruk kerana gangguan di laluan udara dan saya lihat agak sukar untuk kita mencapai sasaran 35 juta pelancong tahun ini berikutan konflik ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, peperangan yang berlaku di rantau itu juga diwujudkan bagi meningkatkan ekonomi AS selain dilihat sebagai asas kepada kegawatan ekonomi yang kebiasaannya berlaku setiap 10 tahun.
“Dunia mengalami kegawatan serius pada 2020 susulan pandemik Covid-19 sebelum ekonomi kembali pulih dengan baik pada 2022 serta mencapai kemuncak pada 2025 dan 2026.
“Selepas tempoh kemuncak, ekonomi akan memasuki fasa perubahan dan seterusnya menguncup. Krisis geopolitik yang berlaku ketika ini menjadi asas baharu kepada kegawatan, malah konflik itu mengukuhkan lagi petunjuk tersebut.
“Jika trend ini berterusan, kita mungkin berdepan tempoh kelembapan selama tiga hingga empat tahun akan datang dan ekonomi dijangka mencecah paras paling rendah sekitar 2029,” katanya.
Beliau turut mencadang agar kerajaan perlu mempergiat strategi sekuriti makanan termasuk menggalakkan aktiviti bercucuk tanam dan penternakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan berkemungkinan terpaksa melakukan pelarasan harga dan memperketat penyasaran subsidi minyak kepada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan sekiranya peperangan yang berlaku di Asia Barat ketika ini berlarutan berbulan lamanya.
Jelas beliau, lonjakan harga minyak yang ketara itu boleh menyebabkan kadar inflasi meningkat dan kos sara hidup menjadi lebih tinggi.
“Jika ketidaktentuan global ini tidak berlarutan, harga RM1.99 per liter mampu dipertahankan. Tetapi jika krisis ini berterusan berbulan lamanya, kerajaan mungkin terpaksa menaikkan harga atau mengurangkan skop subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan sahaja seperti golongan B40 dan M40
“Kita tidak tahu sejauh mana konflik ini akan berlarutan dan bila ekonomi akan mencapai titik terendah. Justeru, rakyat perlu bersedia, berjimat-cermat dan berhemah ketika berbelanja,” katanya.
Perang antara Iran, AS dan Israel dijangka berlarutan selama empat minggu apabila Presiden Donald Trump bertekad mencapai objektif Washington dalam misi ketenteraan yang dilancarkan, Sabtu lalu. –UTUSAN











