Perang Iran jejas agensi umrah, pelancongan ke Asia Barat

Perang Iran jejas agensi umrah, pelancongan ke Asia Barat

MUHAMMAD JAY IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pergolakan­ yang tercetus antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel terus memberi kesan kepada industri penerbangan dan pelancongan, khususnya melibatkan perjalanan ke Asia Barat.

Pengarah Urusan Jay Ibrahim Al Islam, Muhammad Jay Ibrahim berkata, agensinya dianggarkan menanggung kerugian kira-kira RM700,000 susulan situasi semasa yang menjejaskan jadual penerbangan ke Tanah Arab.

“Setakat ini kira-kira 100 jemaah umrah yang telah menempah tiket terpaksa menangguhkan hasrat menunaikan ibadah berikutan gangguan operasi penerbangan.

“Buat masa ini, jadual penerbangan pulang masih belum dimuktamadkan. Kami sedang berusaha mendapatkan tempat duduk penerbangan alternatif untuk jemaah terlibat secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, pihaknya kini giat berhubung dengan syarikat penerbangan dan rakan strategik bagi memastikan kebajikan serta keselamatan jemaah terus terpelihara sepanjang tempoh ketidaktentuan ini.

“Kami belum terima sebarang pengumuman rasmi mengenai pembukaan ruang udara. Tetapi kesemua jemaah di bawah kendalian kami di sana berada dalam keadaan tenang dan bersedia untuk berlepas apabila dibenarkan,” ujarnya.

Pengarah Urusan Mubasyyir Travel & Tours, Datin Seri Intan Abdul Hamid pula memaklumkan, walaupun industri pelancongan ke Tanah Arab terjejas, pihaknya tidak mempunyai sebarang penerbangan dalam tempoh terdekat dan tiada jemaah syarikat itu yang terkandas.

“Pergolakan yang berlaku antara Iran dan Amerika Syarikat-Israel telah menjejaskan pelbagai industri terutama perdagangan dan udara. Namun buat masa ini, Mubasyyir Travel & Tours tiada penerbangan dan tiada jemaah kami yang terkandas,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, hasil tinjauan dijalankan pihaknya bersama ahli-ahli persatuan mendapati tiada pembatalan umrah direkodkan.

“Cuma terdapat sebahagian yang menangguhkan perjalanan, namun jumlahnya belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi semalam.

WAN MUHAMMAD ADAM WAN NORUDIN

Menurut Wan Muhamad Adam, keadaan semasa di Arab Saudi adalah terkawal dan berjalan seperti biasa, kecuali gangguan melibatkan ruang udara yang menjejaskan jadual penerbangan.

“Situasi di sana responsnya baik dan tenang. Operasi umrah berjalan seperti biasa. Isu utama hanyalah berkaitan ruang udara yang memberi kesan kepada pergerakan penerbangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Wisma Putra telah mengambil tindakan sewajarnya dengan pihak konsulat Malaysia di Arab Saudi yang telah membuat aduan dan mengambil langkah susulan berkaitan isu penerbangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN