Penerbangan Xiamen-Pulau Pinang rekod 220,000 penumpang

Penerbangan terus Xiamen-Pulau Pinang rekod 220,000 penumpang sejak 2023

WONG Hon Wai (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada wakil Biro Kebudayaan dan Pelancongan Perbandaran Xiamen serta Xiamen Airlines selepas mengadakan jelajah promosi bertemakan In Love With Penang di Xiamen, China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Usaha agresif kerajaan negeri Pulau Pinang memperkukuh pasaran pelancongan antarabangsa membuahkan hasil apabila penerbangan secara laluan terus antara Xiamen di China dengan Pulau Pinang berjaya merekodkan jumlah penum­pang seramai 220,000 sejak ia diperkenalkan pada 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, ketika ini, laluan yang dikendalikan oleh Xiamen Airlines itu menunjukkan permintaan perjalanan yang kukuh antara wilayah Fujian dan Pulau Pinang.

“Sejak 28 September 2023 hingga 15 Mac lalu, sebanyak 1,526 penerbangan dua hala direkodkan dengan kadar pengisian purata mencecah 85 peratus.

“Pencapaian ini membuktikan hubungan pelancongan antara kedua-dua destinasi makin pesat dan stabil,” katanya semasa mengetuai delegasi kerajaan negeri bersama pemain industri pelancongan ke bandar itu bagi mengadakan jelajah promosi bertemakan ‘In Love With Penang’.

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, laluan itu turut menjana lebih RM100 juta impak ekonomi kepada Pulau Pinang, melibatkan sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta peruncitan.

Beliau berkata, hubungan antara Pulau Pinang khususnya George Town dengan Xiamen telah terjalin lebih 30 tahun sebagai bandar kembar dan kedua-dua bandar itu juga berkongsi persamaan dari segi warisan sejarah, budaya serta hubungan erat antara rakyat.

“Bagi pelancong dari Fujian, Pulau Pinang menawarkan pengalaman unik dengan gabungan budaya Melayu, Cina, India dan Baba Nyonya yang kaya dan pelbagai,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, China kekal sebagai pasaran penting pelancongan negeri dengan Xiamen bertindak sebagai pintu masuk utama pelancong dari negara itu.

Katanya, kekerapan pe­nerbangan juga meningkat daripada tiga kali seminggu kepada operasi harian sekali gus memudahkan perjalanan antara kedua-dua destinasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN