KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan dan tindakan lanjut termasuk kemungkinan membawa pulang pelajar Malaysia susulan konflik di Asia Barat ketika ini akan dirujuk kepada Kementerian Luar terlebih dahulu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, segala urusan berkaitan krisis di luar negara juga akan dikendalikan dan diselaraskan terlebih dahulu kementerian bertanggungjawab, sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
“Apapun kita akan mendapat petunjuk daripada Kementerian Luar kerana urusan berkaitan dengan krisis-krisis luar negara pertama akan dilakukan oleh pihak Kementerian Luar dulu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Perasmian masjid berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Zambry berkata, setakat semalam terdapat enam pelajar Malaysia di Iran berbanding 13 orang tahun lalu.
“Kebanyakannya merupakan pelajar persendirian yang belajar di sana,” katanya.
Seramai 1,936 pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di enam negara Asia Barat dikenal pasti berada dalam keadaan selamat meskipun terkesan dengan ketegangan konflik.
Enam pelajar berada di Iran diikuti Qatar (3), Kuwait (9), Emiriah Arab Bersatu (21),Arab Saudi (135) dan Jordan (1,762).
Zambry berkata, setakat ini tiada sebarang permintaan rasmi daripada pelajar-pelajar yang berdaftar dengan Pejabat Pendidikan Malaysia (EM) untuk pulang ke tanah air.-UTUSAN










