Pemberian kepada kerajaan negeri dijangka cecah RM10.5 bilion

Pemberian kepada kerajaan negeri dijangka cecah RM10.5 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Kewangan Negara bersetuju meningkatkan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini berbanding RM10.3 bilion pada tahun lepas.

Kementerian Kewangan berkata, majlis itu turut bersetuju menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, khususnya Pemberian Senarai Bersama, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri dan agihan Cukai Pelancongan.

Katanya, pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri menunjukkan peningkatan daripada RM8.1 bilion pada 2022 kepada RM10.3 bilion tahun lalu.

“Peningkatan ini rentetan kenaikan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (PMBO) bermula 2026 seperti yang digariskan kerajaan.

“Bagi meningkatkan kemampanan aliran tunai kerajaan negeri, Majlis Kewangan Negara turut bersetuju dengan penambahbaikan mekanisme penyaluran di bawah Senarai Bersama,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan terus komited bagi menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada semua kerajaan negeri setiap tahun demi manfaat seluruh rakyat tanpa mengira negeri atau wilayah.

“Seperti yang termaktub dalam kerangka Ekonomi Madani, limpahan hasil negara mesti diagih secara saksama dan bertunjangkan tatakelola baik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Madani sentiasa terbuka untuk bekerjasama erat dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira pendirian politik.

“Penambahbaikan pemberian ini penting untuk memperhebat pembangunan sosioekonomi dan prasarana kritikal agar kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagai satu negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×