CAMERON HIGHLANDS: Tiada kenaikan mendadak harga sayur dijangkakan dalam tempoh terdekat, meskipun berlaku kenaikan harga runcit diesel.
Pengerusi Pertubuhan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands, Datuk Chai Kok Lim berkata, ia disebabkan setakat ini bekalan sayur import yang masuk ke negara ini masih berjalan tanpa halangan.
Katanya, kira-kira 60 hingga 70 peratus bekalan sayur di Malaysia diperoleh dari Thailand, China, Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan Australia.
“Selagi bekalan sayur import mudah masuk ke negara ini, kita tidak akan mengalami kekurangan bekalan.
“Saya tidak menjangkakan kenaikan harga dalam masa terdekat, namun situasi itu mungkin berubah dalam tempoh kira-kira sebulan bergantung kepada bekalan import,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kok Lim berkata, kesan kenaikan harga diesel yang dipengaruhi konflik di Asia Barat dijangka dirasai selepas beberapa minggu sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Ketika ini konflik baharu berlaku dan kebanyakan negara pengeksport mungkin masih mempunyai bekalan mencukupi, namun kita perlu lihat perkembangan dalam tempoh sebulan,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan kos diesel bagi pengusaha tempatan masih dapat ditampung menerusi subsidi disediakan kerajaan.
Katanya, kenderaan de-controlled di Cameron Highlands, Pahang yang digunakan bagi aktiviti pertanian layak menerima subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.
“Menerusi subsidi ini, sebuah kenderaan seperti Toyota Hilux boleh menerima sehingga RM200 sebulan.
“Bantuan ini bukan sahaja meliputi kenderaan pengangkutan hasil, malah turut melibatkan penggunaan jentera ladang seperti mesin penyiram,” katanya. – UTUSAN










