MARANG: Pas sedia mengambil alih jawatan ketua pembangkang yang kini disandang Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin jika diberi mandat oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas bersikap terbuka dalam perkara berkenaan untuk menerima sesiapa sahaja yang dipilih memegang jawatan itu termasuk calon daripada parti tersebut.
“Terpulang kepada perbincangan ahli-ahli Parlimen kerana kita hendak kuatkan Perikatan Nasional (PN), bukan nak kecilkan.
“Pas ada calon dan kita bersedia kalau ahli Parlimen cadang siapapun, kita akan terima. Yang penting nak kuatkan PN,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Beliau ditanya pandangan keperluan Pas menamakan ahli Parlimennya sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Hamzah untuk mengekalkan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, media melaporkan isu ketua pembangkang berbangkit susulan krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu dipecat dari parti itu.
Susulan itu, wujud desakan dalam Bersatu sendiri yang menuntut perubahan jawatan ketua pembangkang, namun mengikut amalan pemilihan biasa, jawatan itu perlu diputuskan secara konsensus oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang. – UTUSAN










