Paras empangan Pulau Pinang terkawal meskipun El-Nino

Paras empangan Pulau Pinang terkawal meskipun fenomena El-Nino

PARAS empangan di Pulau Pinang termasuk Empangan Mengkuang (gambar) masih dalam keadaan terkawal meskipun cuaca panas berpanjangan direkodkan ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Paras air semua empangan utama di Pulau Pinang masih dalam keadaan terkawal, sekali gus mampu menampung keperluan bekalan air bagi tempoh yang panjang meskipun berdepan ketidaktentuan cuaca ketika ini.

Setakat hari ini, Empangan Air Itam mencatatkan paras 72 peratus dan dianggarkan mampu bertahan sehingga 71 hari tanpa hujan, diikuti Empangan Teluk Bahang pada paras 85.3 peratus (259 hari), manakala Empangan Mengkuang pula merekodkan paras tertinggi ia­itu 91.3 peratus (132 hari).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, pihaknya terus melaksana Pelan Tindakan Kejuruteraan Air yang telah dimulakan sejak 2023 bagi memastikan kecukupan dan ke­sinambungan bekalan air negeri ini.

Menurut beliau, antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk pelepasan strategik air mentah dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) apabila diperlukan, bagi memastikan tiada kekurangan sumber air mentah serta mengekalkan paras empangan dalam jangka panjang.

“Selain itu, PBAPP turut me­laksanakan Strategi Dua Empangan di bahagian pulau (D3PI) yang merupakan perluasan kepada Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP).

“Strategi ini bukan sahaja bertujuan memelihara kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam, malah, ia turut melibatkan sebahagian kawasan perkhid­matan Empangan Teluk Bahang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Fenomena El Nino yang berintensiti kuat dijangka kembali melanda dunia termasuk Malaysia, sekitar pertengahan tahun ini dengan kebarangkalian melebihi 70 peratus dan meningkat sehingga 80 hingga 90 peratus menjelang penghujung 2026.

Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Fredolin Tajudin Tangang berkata, berdasarkan ramalan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat, fenomena itu dijangka bermula sekitar Julai hingga Ogos.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, sejak 1 Januari lalu, PBAPP telah menguruskan pelepasan air secara cermat dan berhati-hati dari kedua-dua empangan di bahagian pulau bagi mengekalkan kapasiti efektif pada tahap memuaskan untuk tempoh lebih lama.

Beliau berkata, perubahan iklim menyebabkan corak hujan di kawasan tadahan air menjadi semakin sukar diramal berbanding trend sebelum ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN