PETALING JAYA: Kes membabitkan pemandu mabuk yang meragut nyawa individu tidak bersalah perlu dinoktahkan segera.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kemalangan akibat pemandu mabuk memberi kesan buruk khususnya apabila keluarga kehilangan orang tersayang.
“Kematian mangsa mesti dibela! Kes pemandu mabuk yang melanggar dan membunuh nyawa yang tak berdosa mesti dinoktahkan segera!.
“Isteri dan anak hilang suami dan ayah mereka kerana tindakan bodoh seorang pemabuk yang memandu kenderaan secara berbahaya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang.
Akibat pelanggaran itu, mangsa yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an tercampak sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Terdahulu, tular di media sosial satu video kamera papan kemuka menunjukkan sebuah kereta dipandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi berkata, pihaknya bersedia menawarkan khidmat guaman secara sukarela kepada keluarga mangsa bagi memastikan tuntutan undang-undang dapat dilaksanakan dengan seadilnya.
“Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa. Semoga bertabah di atas ujian ini,” katanya. – UTUSAN










