Nenek saudara jadi ‘Mama’ selepas tragedi ragut lima nyawa

Nenek saudara jadi ‘Mama’ selepas tragedi ragut lima nyawa

MUHAMAD Khairul Haziq Mohd. Khairul Nizam (tengah) ditemani Nurul Jannah Jaafar (dua dari kiri) memilih pakaian raya sempena Program Riang Ria Aidilfitri, PROTEK Perkeso Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dalam usia yang masih muda, seorang kanak-kanak terpaksa menerima hakikat kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam satu tragedi yang mengubah hidup­nya buat selama-lamanya.

Dalam kemalangan ngeri di Pengkalan Atap, Besut, dekat sini pada 2019 itu, Muhamad Khairul Haziq Mohd. Khairul Nizam, 12, kehilangan ibu, Nur Syaalien Syarizam Salleh dan bapanya, Mohd. Khairul Nizam Yusof serta adik perempuannya yang berusia lapan bulan.

Turut terkorban dalam kemalangan meragut lima nyawa itu ialah nenek dan bapa saudaranya, menjadikan kanak-kanak berkenaan hilang tempat bergantung dalam sekelip mata.

Namun, nasibnya terbela apabila nenek saudaranya, Nurul Jannah Jaafar, 34, dari Kampung Durian Mas di sini, tampil mengambil tanggungjawab membesarkannya.

Nurul Jannah berkata, dia tidak sanggup melihat anak saudaranya kehilangan tempat bergantung.

“Dalam kejadian itu, Muhamad Khairul Haziq patah kaki kanan. Saya terus buat keputusan untuk menjaganya. Kami belum ada anak, saya dan suami sepakat membesarkannya seperti anak sendiri,” katanya pada Program “Riang Ria Aidilfitri, PROTEK Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Terengganu 2026, baru-baru,

Nurul Jannah yang berkahwin dengan Fathul Mubin Zakaria, 36, pada 2015 berkata, mereka turut mendapatkan hak penjagaan secara sah melalui mahkamah bagi memastikan masa depan kanak-kanak itu terjamin.

Katanya, Muhamad Khairul Haziq kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Durian Mas dan menjadi pendiam sejak tragedi tersebut.

“Dia panggil saya ‘Mama’ dan saya dapat rasakan itu adalah amanah besar kepada saya untuk menjaga anak yatim piatu ini.” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN