KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab terhadap kerugian berjumlah AS$1.18 bilion yang dialami SRC International Sdn. Bhd., selepas didapati melakukan salah laku dalam jawatan awam.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman sivil difailkan oleh SRC International, sekali gus mengarahkan Najib untuk membayar semula kerugian berkenaan yang berpunca daripada dana pelaburan syarikat tersebut.
Mahkamah memerintahkan Najib membayar AS$1.3 bilion kepada syarikat itu kerana menyalahgunakan kedudukannya dan bertindak dengan niat tidak baik dengan menyeleweng AS$120 juta ke dalam akaun bank peribadinya.
Jumlah itu merangkumi AS$1.18 bilion kerugian dan AS$120 juta sebagai ganti rugi yang ditetapkan, manakala kos akan ditentukan kemudian.
Mahkamah membenarkan penangguhan sementara Najib memfailkan permohonan rasmi untuk menangguhkan pelaksanaan sementara menunggu rayuan dalam tempoh 14 hari.
Sebelum ini, SRC International Sdn. Bhd. memohon perisytiharan mahkamah bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab untuk memperakaunkan serta membayar semula kerugian berjumlah AS$1.18 bilion yang timbul daripada dana pelaburan syarikat itu.-UTUSAN










