Lelaki Singapura berdepan hukuman gantung

Lelaki Singapura berdepan hukuman gantung

MUHAMMAD Arif Saiyadi dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki senegaranya berhampiran sebuah kelab malam bulan lalu. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki senegara berhampiran kelab malam, di sini pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Arif Saiyadi, 25, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam, bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Chia Hon Chung, 32, pada pukul 5.30 pagi di Persiaran Southkey 1, Kota Southkey, 14 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 3 Jun depan sebagai sebutan semula bagi menunggu laporan bedah siasat, kimia dan DNA.

Sementara itu, rakan tertuduh, Shahid Nazareen Shah Phul Bahar Hussain, 33, turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di lokasi dan hari yang sama.

Di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, tertuduh mengaku bersalah mencederakan Mohamad Adam Haikal Zakaria, 26, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran setelah mengambil kira kecederaan dialami mangsa sebelum mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM1,700 dan penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN