KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan kerajaan Persekutuan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan geran pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.
Kata Mustapha, beliau turut terkejut dengan kewujudan dokumen Notis Usul mengenai perkara itu yang ditularkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sejak semalam.
Menurutnya, berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 2 Mac lepas, isu terbabit tidak ditimbulkan.
“Saya pun agak terkejut tentang notis usul ini dan saya tidak ada maklumat terperinci tapi saya akan mendapatkan maklumat tersebut. Saya akan suarakan, mungkin dalam mesyuarat Kabinet nanti untuk menyiasat apa yang telah berlaku.
“Saya tidak ada maklumat (terperinci) jadi saya tidak boleh komen (buat masa ini). Kami baru juga bermesyuarat dalam MTPMA63 pada 2 Mac lepas yang dihadiri oleh semua pihak. Pada masa tersebut, memang kita daripada segi dasarnya masih kekal bahawa kerajaan Persekutuan akan menunaikan yang 40 peratus itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah bertempat di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini, hari ini.
Mustapha berkata, buat masa ini, pihaknya tidak mahu membuat kesimpulan terlalu awal sehingga mendapatkan maklumat lengkap berkaitan isu terbabit.
“Mesyuarat sudah berjalan tiga kali, jawatankuasa kecil telah diwujudkan untuk menilai semula data-data yang ada dan proses itu sedang berjalan sekarang.
“Saya berharap pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kementerian Kewangan (MOF) akan memberi laporan mereka. Saya tidak mahu membuat kesimpulan terlalu awal.
“Saya fikir yang penting kita siasat dulu kerana ini melibatkan perundangan. Saya juga harap pihak AGC dan MOF tidak terlalu awal membuat kesimpulan sehingga kita dapat maklumat apa yang terjadi sebenarnya.
” Kita dapatkan fakta dulu barulah kita boleh memberi pandangan. Saya akan dapatkan maklumat dulu dan sekiranya ada keperluan, nanti saya akan keluarkan kenyataan,” katanya. – UTUSAN









