PARLIMEN: Tunggakan bayaran balik pinjaman PTPTN melebihi RM11 bilion

PARLIMEN: Tunggakan bayaran balik pinjaman PTPTN melebihi RM11 bilion

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional kini melebihi RM11 bilion dengan jumlah peminjam sebanyak 1.2 juta orang setakat 31 Oktober lalu.

Daripada jumlah tunggakan tersebut, seramai 967,796 peminjam (RM10.23 bilion) merupakan dari keluarga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), 196,315 (RM539.35 juta) pula dari keluarga bukan penerima STR dan 64,618 peminjam dengan tunggakan sebanyak RM257.56 juta merupakan dari keluarga yang berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, seramai 911,778 peminjam daripada keluarga penerima STR sudah berjaya membuat bayaran balik pinjaman PTPTN berjumlah RM13.89 bilion.

Dua kategori keluarga lain, kata beliau, turut sudah membuat bayaran balik pinjaman dengan jumlah peminjam seramai 195,087 orang dengan sebanyak lebih RM2.2 bilion.

“Bagi peminjam yang membuat bayaran balik secara konsisten (dan) mengikut jadual (adalah) 450,522 peminjam adalah dari keluarga STR (dengan jumlah bayaran sebanyak) RM4.17 bilion.

“131,386 peminjam (pula) dari keluarga bukan penerima STR dan berpendapatan kurang dari RM8,000 sebulan dengan bayaran berjumlah RM697.79 juta dan 39,324 peminjam dari keluarga melebihi 8,000 sebulan dengan bayaran berjumlah RM362.36 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) menyatakan apakah jumlah serta kadar bayaran balik pinjaman PTPTN mengikut pendapatan bulanan peminjam secara terperinci.

Menjawab soalan tambahan, Mustapha berkata, cadangan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN berdasarkan komitmen perkhidmatan, bukan berdasarkan akademik semata-mata merupakan cadangan yang baik untuk dipertimbangkan.

“Tetapi ini semua bergantung kepada keupayaan PTPTN selaku model pembiayaan,” ujarnya.

Tambahnya, model pengecualian pinjaman PTPTN yang sebelum ini diumumkan oleh kerajaan sudah merangkumi pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Cuma kali ini, model hanya melibatkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dihadkan B40 dan M40 sahaja, ini merupakan dasar yang kita guna sekarang secara bersasar supaya kita dapat pastikan yang terlibat sahaja akan dibantu.

“Tetapi saya fikir, kewajaran yang ditimbulkan oleh Gopeng itu untuk kita menilai semula tentang IPTS, mungkin mekanisme itu perlu diperincikan. Saya fikir ini akan diberikan pertimbangan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, usaha meningkatkan tabungan keluarga dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dari sebelum anak-anak mereka memasuki universiti.

“Memang kita telah berusaha sebaik mungkin oleh PTPTN untuk menyebar luaskan maklumat tentang SSPN.

“Tabungannya meningkat setiap tahun, cuma saya tidak mempunyai data terperinci sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN