Mualaf seronok berpuasa walaupun tanpa keluarga

Mualaf seronok berpuasa walaupun tanpa keluarga

MUHAMMAD Herman Tan Abdullah singgah di sebuah masjid di Bagan Datuk untuk menunaikan solat. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seorang mualaf warga emas tetap tabah menjalani ibadah puasa walaupun tinggal bersendirian tanpa keluarga di sisi.

Tan Che Yong yang kini dikenali sebagai Muhammad Herman Tan Abdullah, 78, berkata, dia bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah puasa bersama umat Islam lain selepas memeluk Islam pada Januari 2022.

Katanya, hasrat untuk memeluk Islam sebenarnya telah dipendam sejak berusia 18 tahun selepas sering bergaul dengan rakan serta jiran masyarakat Melayu dan Jawa di kampung­nya.

“Saya dilahirkan di Parit 5, Sungai Sumun, Hutan Melintang, di sini. Ketika belajar di sebuah sekolah orang dewasa di Bagan Pasir, saya berkawan dengan seorang ustaz yang banyak mengajar saya mengenai Islam.

“Apabila melihat rakan-rakan menunaikan solat dan mengaji al-Quran, hati saya tertarik. Namun pada masa itu saya takut kerana keluarga ramai dan bimbang mereka tidak bersetuju,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia dan anak-anak pula membawa haluan masing-masing, dia akhirnya berpeluang melaksanakan hasrat tersebut.

“Alhamdulillah, saya bertemu semula dengan seorang rakan lama yang bekerja di Pejabat Agama Teluk Intan. Dia mengetahui minat saya terhadap Islam dan membantu saya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.

Muhammad Herman berkata, anak-anaknya bersetuju dengan keputusannya memeluk Islam, namun mereka memilih untuk tidak mengikut jejak langkahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×