KUALA LUMPUR: Pengendali perkapalan kontena terkemuka negara, MTT Shipping and Logistics Berhad (MTTSL) melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka mengumpul dana sebanyak RM652.5 juta.
Penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu merupakan IPO terbesar dalam sektor pengangkutan dan logistik di Malaysia dari segi modal pasaran sejak 2013.
Nilai permodalan pasaran syarikat dianggarkan mencecah RM2.6 bilion selepas penyenaraian pada 21 April ini.
Menerusi terbitan awam sebanyak 633.5 juta saham baharu pada harga RM1.03 sesaham, kumpulan memperuntukkan 95.7 peratus daripada hasil tersebut bagi perolehan sekurang-kurangnya 12 buah kapal kontena baharu sebagai strategi peremajaan aset dan peluasan rangkaian perkhidmatan.
Pengarah Urusan MTTSL, Ooi Lean Hin berkata, langkah pengembangan ini adalah tepat pada masanya memandangkan permintaan terhadap kapasiti perkapalan yang dipercayai di laluan domestik dan serantau kekal teguh meskipun berdepan cabaran geopolitik global.
“Industri perkapalan kini berdepan keperluan mendesak untuk memperbaharui profil usia kapal, ditambah dengan piawaian pelepasan karbon yang lebih ketat oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
“Pelaburan ini akan membolehkan kami meningkatkan kapasiti operasi dan menangani peluang pertumbuhan perdagangan di Asia Tenggara,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus itu di sini, semalam.
Menyentuh mengenai impak ketegangan geopolitik di Selat Hormuz, Lean Hin berkata, walaupun gangguan tersebut mencetuskan kenaikan harga minyak, industri mempunyai mekanisme Faktor Pelarasan Bahan Api (BAF) untuk mengimbangi kos tersebut.
Beliau turut optimis terhadap prospek pasaran Asia yang dipacu oleh penjajaran semula rantaian bekalan global ke Asia Tenggara susulan persaingan perdagangan antara Barat dan China.
“Kami melihat berlaku peralihan besar di mana eksport dari Asia Tenggara ke Amerika Syarikat (AS) meningkat 23 peratus tahun lalu. MTTSL berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan volum kargo di pelabuhan hab sepanjang Selat Melaka,” tambahnya.
Bagi menarik minat pelabur, MTTSL menetapkan dasar pembayaran dividen sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT).
Dari segi peruntukan saham, sebanyak 571 juta unit diperuntukkan kepada pelabur institusi, manakala baki 162.5 juta unit adalah untuk peruntukan runcit dan kakitangan yang layak.
Permohonan untuk IPO itu dibuka sehingga 3 April 2026.
CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama dan penyelaras global bersama bagi eksais IPO tersebut. –UTUSAN











