Malaysia capai domain penulisan terbaik

Malaysia capai domain penulisan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih keputusan terbaik dalam domain Penulisan bagi Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 yang diumumkan semalam di Phnom Penh, Kemboja, sekali gus mengangkat mutu pendidikan negara di peringkat serantau.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan skor purata domain Penulisan murid negara mencatat 480.1 mata, iaitu 29.2 mata lebih tinggi berbanding purata serantau, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam penguasaan kemahiran menulis.

Katanya, keputusan ini yang tertinggi dalam kalangan semua negara Asia Tenggara yang menyertai SEA-PLM 2024.

“Sebanyak 21 peratus murid Malaysia berada pada band pencapaian tertinggi iaitu Band 5 ke atas, berbanding purata serantau sebanyak lima peratus.

“Pencapaian ini menunjukkan tahap pemikiran kritis murid yang merangkumi kandungan, konteks serta proses penyampaian idea dalam penulisan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut KPM, keputusan itu bagaimanapun menunjukkan jurang pencapaian antara kumpulan sosioekonomi, jantina serta perbezaan bahasa pertuturan di rumah dan di sekolah masih wujud.

Katanya, ini menjadi cabaran utama dalam memastikan pendidikan yang lebih saksama.

“SEA-PLM mengukur pencapaian murid Tahun 5 dalam empat domain utama iaitu Bacaan, Matematik, Penulisan dan Kewarganegaraan Global.

Bagi Malaysia, katanya, pentaksiran ini melibatkan 4,379 murid di 158 sekolah rendah, merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), SK Asli, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta,” katanya.

Keputusan domain Bacaan dan Matematik telah diumumkan pada Disember tahun lalu.

KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara setara dengan standard pentaksiran antarabangsa demi manfaat anak-anak Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN