Perlu faham pemikiran penjenayah kolar putih

Perlu faham pemikiran penjenayah kolar putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI sudut kriminologi, Teori Pilihan Rasional (Rational Choice Theory) menyatakan penjenayah kolar putih biasanya tidak bertindak secara spontan tetapi berfikir dan merancang terlebih dahulu selain menimbang potensi keuntungan berbanding risiko sebelum bertindak.

Penjenayah kolar putih biasanya berhadapan dengan dilema dalam sesuatu tindakan. Jika mengambil peluang terlibat di dalam rasuah, mereka mungkin mendapat kekayaan wang, kedudukan tinggi, keselesaan dan rangkaian hubungan dengan orang berstatus tinggi tetapi mereka juga berdepan risiko ditangkap, dihukum, rasa bersalah serta kehilangan reputasi.

Sebaliknya, jika menolak rasuah, mereka mungkin tidak mendapat keuntungan segera tetapi memperoleh ketenangan fikiran, kerjaya yang lebih stabil, kepuasan kerana bersikap jujur dan penghormatan masyarakat.

Seorang eksekutif korporat mungkin memanipulasi akaun syarikat untuk menunjukkan keuntungan yang lebih tinggi atau memperoleh bonus, terutamanya apabila mereka merasakan risiko untuk dikesan adalah rendah.

Dalam keadaan ini, mereka melihat manfaat yang bakal diperoleh lebih besar daripada risikonya. Begitu juga di Malaysia pada tahun ini, seorang pegawai kanan kerajaan didakwa atas kesalahan Pecah Amanah Jenayah (CBT) melibatkan kira-kira RM5 juta daripada dana kebajikan.

Dalam kes lain, seorang lagi pegawai didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram melebihi RM2 juta. Kedua-dua kes ini masih dalam perbicaraan di mahkamah. Dari sudut analisis kos-faedah, mereka mungkin melakukan perbuatan tersebut kerana merasakan keuntungan kewangan dan kedudukan lebih besar berbanding risiko seperti dikesan, didakwa atau kehilangan kerjaya.

Namun apabila kes terbongkar, mereka berdepan tindakan undang-undang dan kerosakan reputasi.

 

UBAH CARA, AMALAN

Untuk menghapuskan rasuah dalam institusi awam di Malaysia, organisasi perlu mengubah cara berfikir dan amalan lama melalui proses membuang atau meninggalkan perkara dan tabiat lama yang salah (unlearning) dan belajar semula perkara betul atau berintegriti (re-learning).

Menurut Hendi Yogi Prabowo (Journal of Financial Crime) dan Jack Mezirow (Transformative Learning Theory) unlearning bermaksud meninggalkan amalan rasuah atau pendekatan lama yang tidak berkesan dan menggantikannya dengan nilai integriti serta tadbir urus lebih baik bagi membantu organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan.

Untuk berkesan, unlearning dan re-learning memerlukan dua aspek:
– Tadbir urus manusia untuk mengubah pemikiran dan tingkah laku pekerja.
– Tadbir urus struktur supaya mengemas kini sistem dan proses supaya keputusan etika dapat dibuat dengan lebih kukuh.

Proses unlearning dipengaruhi cara didikan, asuhan, rakan sebaya dan pendidikan kerana semua ini membentuk tabiat, nilai serta kepercayaan awal kita. Ia dipupuk sejak kecil lagi.

Kanak-kanak mempelajari tingkah laku dan prinsip moral daripada penjaga mereka tetapi sesetengah tabiat seperti tidak jujur atau pilih kasih perlu dibuang supaya tingkah laku lebih beretika, walaupun sukar untuk dipulih.

Program pendidikan dan latihan yang efektif juga membantu unlearning dan re-learning dengan membimbing individu meninggalkan amalan lama yang tidak sesuai serta menggantikannya dengan kejujuran, integriti, akauntabiliti dan kemahiran berfikir kritis.

Pengalaman awal membentuk cara kita berfikir dan sebagai orang dewasa, kita mungkin masih mengekalkan tabiat lama. Untuk berkembang dan memperbaiki diri, kita perlu belajar serta terima melepaskan apa yang telah dipelajari sebelum ini.

Unlearning penting kerana pengetahuan lama juga boleh menjadi tidak relevan lagi. Contohnya, apa yang saya pelajari dalam sarjana kriminologi 40 tahun lalu di Universiti Detroit akan usang tanpa dikemas kini dan membuang konsep lama. Konsep belajar, melupakan atau menanggalkan dan belajar semula menjadi semakin penting apabila teknologi sentiasa berubah dengan pantas dan menguasai literasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Proses unlearning sepanjang hayat membantu individu bertindak secara beretika. Ini sangat penting bagi penjenayah kolar putih, yang perlu meninggalkan amalan tidak beretika sebelum ini untuk berubah dan mengamalkan tingkah laku beretika.

Budaya kepimpinan yang korup menjadikan tingkah laku tidak beretika kelihatan normal, apabila pemimpin menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri. Oleh itu, organisasi perlu membuang amalan lama yang bahaya dan menggantikannya dengan kepimpinan beretika, akauntabiliti dan integriti.

Proses membuang atau meninggalkan perkara dan tabiat lama yang salah ialah proses sengaja meninggalkan pengetahuan, rutin atau andaian lama supaya organisasi dapat mengamalkan cara yang lebih berkesan.

Di Malaysia, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan berbilion wang didakwa disalahgunakan, menunjukkan kepentingan unlearning organisasi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini meningkatkan penggunaan teknologi canggih, termasuk AI, data raya dan forensik digital untuk mengesan dan memerangi penipuan kewangan serta rasuah yang semakin kompleks.

Contoh lain termasuk syarikat yang terlibat dalam skandal Enron, yang mula meninggalkan bergantung hanya kepada laporan dalaman dan mula menggunakan audit bebas, kawalan kewangan lebih kukuh dan perakaunan forensik.

Begitu juga jabatan kerajaan yang sebelum ini bergantung semakan manual dokumen, terpaksa meninggalkan kaedah lama dan mengadaptasi digitalisasi, meningkatkan ketelusan, automasi proses dan menggunakan analitik data untuk mengesan penipuan, rasuah dan kebocoran.

Dalam sektor kewangan, bank kini beralih daripada hanya bertindak selepas aduan pelanggan kepada penggunaan pemantauan masa nyata berasaskan AI, analitik tingkah laku dan pengesahan berbilang faktor untuk mengesan anomali. Peralihan ini memerlukan meninggalkan kaedah lama yang reaktif.

Begitu juga, organisasi yang beralih daripada perakaunan berasaskan kertas ke sistem awam perlu proses manual unlearn untuk menggunakan alat digital dengan berkesan.

Disyorkan agar Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO)sentiasa mengemas kini pengetahuan mengenai integriti dan tadbir urus melalui Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) bagi mengekalkan dan releven kelayakan mereka.

Contohnya, Pemeriksa Penipuan Bertauliah (CFE)perlu memperoleh sekurang-kurangnya 20 kredit CPE setiap tahun berkaitan penipuan, dengan sekurang-kurangnya dua kredit khusus untuk etika.

Kesimpulannya, jenayah kolar putih boleh dikurangkan melalui etika, proses membuang atau meninggalkan perkara dan tabiat lama yang salah dan belajar semula perkara betul atau berintegriti serta komitmen yang kuat untuk menegakkan integriti mahupun tadbir urus bersih.-UTUSAN

DATUKSeri Dr. Akhbar Satar ialah Profesor Jenayah Dan Kriminologi di Universiti HELP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×