Miliki diesel tanpa lesen, pemilik syarikat didenda RM150,000 

Miliki diesel tanpa lesen, pemilik syarikat didenda RM150,000 

HASDI Mustafa (kiri) semasa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengenakan denda sebanyak RM150,000 ke atas seorang pemilik sebuah syarikat selepas mengaku bersalah memiliki 29,070.78 liter minyak diesel tanpa lesen, tiga tahun lalu.

Hasdi Mustapa, 45, sebagai orang kena saman (OKS) dijatuhkan hukuman denda itu selepas  membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di depan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli 

Mengikut pertuduhan, pada 6 Julai 2023 kira-kira pukul 3.30 pagi, sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemeriksaan di premis HMH Truck di Lot 7731, Jalan Besar, Kampung Cacar, Paka, dekat sini.

Pemeriksaan menemukan sebuah lori tangki jenis Volvo bersama semi trailer bernombor pendaftaran T/BB 9385 dalam keadaan mencurigakan.Hasil siasatan mendapati lima ruangan tangki semi trailer itu berisi cecair disyaki minyak diesel tanpa lak keselamatan manakala pintu kepala lori tidak berkunci dan kunci ditinggalkan di dalam kenderaan tersebut.

Siasatan turut mendapati lori tangki yang merupakan milik Fueller Logistics (KL) Sdn. Bhd. digunakan bagi penghantaran minyak diesel tidak bersubsidi.

Bagaimanapun, pada tarikh kejadian tiada penghantaran dijadualkan dan tangki sepatutnya berada dalam keadaan kosong selepas urusan penghantaran sehari sebelumnya.

Siasatan lanjut mendapati minyak diesel yang disita berada di bawah kawalan dan tanggungjawab OKS selaku pemilik bersama syarikat itu.

Tertuduh kemudian mengaku bahan bakar berkenaan adalah diesel bersubsidi yang dikutip dari stesen minyak sekitar Paka dan Dungun untuk tujuan penyelewengan.

Pada 18 September 2023, sebanyak 29,067 liter diesel dijual oleh pihak penyiasat KPDN dengan hasil jualan RM68,888.79 manakala selebihnya diambil sebagai sampel analisis.

Siasatan turut mengesahkan tertuduh tidak mempunyai lesen untuk berurusan dengan minyak diesel yang merupakan barang kawalan berjadual.

Oleh itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM150,000 dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda, selain turut memerintahkan hasil jualan diesel serta lori tangki tersebut dilucut hak kepada kerajaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan Pegawai Pendakwa Nur Amirah Mokhtar manakala OKS diwakili peguam, Mohamad Zaiful Bahri Kamde. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×